BM | EN | 中文

MAKMAL DADAH DI MERSING DIBONGKAR

Polis-bongkar-makmal-dadah-di-Mersing.jpg

Gambar Ehsan Polis Johor

JOHOR BAHRU, 30 OGOS: Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal memproses dadah menerusi tangkapan tiga lelaki tempatan dalam serbuan ke atas sebuah bangsal ladang ternakan lembu dekat Kampung Pengkalan Batu, Mersing, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua suspek yang ditahan pada pukul 4 petang itu berumur antara 33 hingga 52 tahun dengan seorang daripadanya ialah pengusaha ternakan manakala dua lagi merupakan pengusaha kandang serta pemandu lori.

Katanya, hasil serbuan, polis merampas sejumlah 186.7 kilogram (kg) cecair berwarna coklat disyaki dadah, 11.6 kg cecair meth oil dan pelbagai bahan kimia iaitu 2.02 kg ephedrine, 11.8 kg red phosphorus, 10 bekas plastik sodium hydorxide, satu botol asid asetik, lima botol plastik asid hydrochloric dan dua botol etanol absolute.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM350,000,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata selain dadah dan bahan kimia itu, polis turut merampas pelbagai peralatan makmal disyaki digunakan untuk memproses dadah iaitu masing-masing seunit tong logam, tong plastik, tong gas dan periuk logam serta masing-masing dua unit dapur gas, baldi dan kerusi.

Polis juga menyita sejumlah harta bernilai RM250,000 daripada semua suspek iaitu masing-masing sebuah kereta jenis BMW dan Toyota Hilux, sebuah lori jenis Mitsubishi, seutas gelang, dua utas rantai, sebentuk cincin dan sepasang anting-anting.

Mohd Kamarudin berkata berdasarkan semakan dan saringan ujian air kencing, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah.

“Polis masih menyiasat sama ada terdapat suspek lain turut terlibat, untuk pasaran mana dadah yang diproses ini diagihkan dan berapa lama kegiatan ini berlangsung.

“Tetapi berdasarkan penelitian kami, dadah yang ingin dihasilkan ialah jenis syabu dan mereka memilih ladang ini kerana sunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai.

“Jadi ia dikira sesuai kerana apabila memproses dadah tersebut, kemungkinan akan ada bau yang kuat terhasil,” kata beliau.

Menurut Mohd Kamarudin, semua suspek kini telah direman selama tujuh hari bermula 28 Ogos hingga 3 Sept untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau merayu kepada masyarakat setempat supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pengedaran atau penyalahgunaan dadah kepada pihaknya.

Katanya, dalam tempoh Januari sehingga 28 Ogos tahun ini, polis Johor telah berjaya membuat tangkapan terhadap 13,214 individu atas pelbagai kesalahan dadah selain turut merampas sebanyak 2,761 kg dadah yang bernilai sebanyak RM127.96 juta.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top