BM | EN | 中文

Majlis Daerah Mersing turut dilibatkan dalam RKK Tanjung Gemok, Pahang

tanjung-gemuk-Pahang-Endau-Mersing-Johor.jpg

Struktur ikon di Tanjung Gemok, pekan di sempadan Pahang-Johor (Gambar Ehsan Blog Orang Pahang)

Advertisement

MERSING, 20 JUL: Majlis Daerah Mersing merupakan pihak berkuasa tempatan di negeri Johor yang dilibatkan dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Gemok, Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata RKK itu kini dipamerkan di pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pahang di Indera Mahkota dan Majlis Daerah Rompin (MDR) sehingga 31 Julai ini bagi mengumpulkan pandangan orang ramai atau bantahan.

Katanya, kajian RKK Tanjung Gemok itu telah dilakukan selama enam bulan bermula 15 Feb 2019 selain turut melalui tiga sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus dan sesi perbincangan bersama pentadbiran daerah negeri bersempadan iaitu Majlis Daerah Mersing, Johor.

Advertisement

Difahamkan sebanyak 122 projek termasuk 17 projek berimpak tinggi dan 58 projek utama disenaraikan di bawah draf itu yang boleh disifatkan sebagai ‘pembangunan semula’ kawasan yang dianggarkan seluas 351 hektar tersebut.

Sempadan Pahang-Johor (Gambar Ehsan blog Orang Pahang)

Wan Rosdy menambah, turut terkandung ialah rancangan membina Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu memandangkan Tanjung Gemok merupakan antara laluan ke Pulau Tioman selain perancangan mewujudkan ‘corniche fish market’ seperti yang ada di luar negara.

“Draf RKK Tanjung Gemok ini disediakan sebagai panduan dan pemudah cara kepada sektor pelancongan, ekonomi dan aktiviti maritim selain turut mengandungi cadangan terperinci melalui pelan tindakan dan spesifikasi pembangunan, pelan pengurusan dan tindakan pelaksanaan.

Advertisement

“Selain jeti untuk ke Pulau Tioman, kedudukan Tanjung Gemok sebagai laluan masuk ke Pahang dari arah selatan dan gerbang masuk ke Taman Negara Endau Rompin.

“Kawasan ini berpotensi dimajukan bagi mendatangkan pendapatan kepada negeri dan penduduk sekitar dalam sektor pelancongan,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Tanjung Gemok di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada 16 Julai.

Advertisement

Draf RKK itu juga meliputi rancangan untuk meningkatkan pengeluaran industri pemprosesan makanan sejuk beku, pembinaan pemecah ombak dan pendalaman Sungai Endau.

Selain itu RKK Tanjung Gemok merancang meningkatkan imej pintu masuk dan menambah baik struktur pejalan kaki di Jambatan Endau serta pembinaan pusat penerangan pelancong.

Wan Rosdy juga optimis perancangan itu dapat meningkatkan Tanjung Gemok sebagai antara destinasi pilihan pelancong yang secara tidak langsung membantu mempromosikan destinasi lain di Pahang yang disifatkan mempunyai “pakej lengkap tanah tinggi, laut dan hutan”.

Advertisement

Cadangan atau bantahan juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi PLANMalaysia di http://epublisiti.townplan.gov.my, Twitter PLANMalaysia@Pahang, http://jpbd.pahang.gov.my atau MDR di www.mdrompin.gov.my.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top