BM | EN | 中文

MAIWP dan MAIJ mohon mencelah dalam rayuan kes kalimah ‘ALLAH’

kehakiman-mahkamah-hakim.jpg
Advertisement

PUTRAJAYA, 8 JUN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memohon untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah ‘ALLAH’ oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

Peguam Annou Xavier, yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, semasa dihubungi memberitahu Bernama bahawa MAIWP dan MAIJ telah memfailkan permohonan itu.

Pengurusan kes rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan itu diadakan secara dalam talian pada Selasa.

Advertisement

Xavier berkata, mahkamah menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes berikutnya bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara memfailkan rekod rayuan dan juga bagi pihak-pihak berkenaan memfailkan afidavit masing-masing bagi permohonan pencelah.

Peguam MAIWP, Fakhrul Azwan Abu Hasan, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan tersebut.

Permohonan MAIWP ini merupakan usaha keduanya untuk mencelah dalam kes Jill Ireland.

Advertisement

Sebelum ini, MAIWP memfailkan permohonan mencelah di Mahkamah Tinggi tetapi hanya dibenarkan bertindak sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) untuk membantu mahkamah.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland dan tiga perintah termasuk perisytiharan bahawa wanita suku kaum Melanau itu mempunyai hak perlembagaan di bawah Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan untuk mengimport penerbitan semasa menjalankannya hak untuk mengamalkan agamanya dan hak untuk mendapat pendidikan.

Advertisement

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat oleh bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

KDN dan kerajaan memfailkan rayuan pada 15 Mac terhadap keputusan itu.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top