JOHOR BAHRU, 3 JUL: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) pertimbang untuk memberikan bantuan bulanan kepada keluarga lelaki yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak lemas terjatuh longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang, Jumaat lalu.
Menurut wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak, permohonan bagi mendapatkan bantuan sara hidup bulanan itu dibuat setelah keluarga berkenaan hilang punca pendapatan.
Katanya, pemergian arwah Mohd. Asraf Mohd. Hisham Tan, 32, telah meninggalkan empat orang anak yang masih kecil berusia empat bulan hingga lima tahun.
“Ketika mengunjungi isteri kepada mangsa, Nur Fara Atiqah Mohd. Hassan, 27, turut bersamanya ialah ibu mentua serta kakak iparnya. Kami difahamkan isteri mangsa berada di tempat kejadian ketika suaminya bertindak menyelamatkan kanak-kanak yang terjatuh ke saliran itu.
“Atas rasa simpati terhadap nasib menimpa keluarga itu, MAIJ menyampaikan sumbangan segera one-off RM500 selain memanjangkan permohonan untuk mendapatkan bantuan sara hidup bulanan kepada mereka.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak lain yang turut sama memberikan bantuan kepada keluarga terbabit sebelum ini,” katanya, lapor Utusan Online.
Jumaat lalu, Mohd. Asraf ditemukan mati lemas ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar barangan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum menyedari seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam longkang.
Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, bantuan sara hidup bulanan itu kelak membolehkan suri rumah itu menerima sejumlah RM500 setiap bulan selama dua tahun.
“Sekiranya masih tidak mampu menyara keluarga setelah tamat tempoh dua tahun itu, dalam masa tiga bulan terakhir dia boleh memohon untuk membuat penyambungan bantuan,” katanya.
Johorkini