BM | EN | 中文

Mahkamah Tinggi benarkan 107 pembeli saman pemaju kondo di Johor

the-meridin-Medini-Johor.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan tuntutan saman sivil yang dikemukan 107 pembeli terhadap pemaju projek kondominium “The Meridin @ Medini di Johor Bahru” kerana melanggar syarat dalam Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989, sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak, yang merupakan hakim perbicaraan dalam kes itu berkata defendan, Tropika Istimewa Development Sdn Bhd, telah memberi gambaran salah kepada plaintif (107 pembeli) bahawa mereka membuat Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk membeli harta tanah dan bukan Perjanjian Sewa Guna.

“Berdasarkan alasan yang dijelaskan, mahkamah berpuas hati bahawa plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan. Oleh itu, mahkamah membenarkan tuntutan itu dengan kos RM30,000, ” katanya.

Advertisement

Hakim Mohd Sofian yang juga menjadi Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan pemohonan deklarasi oleh plaintif bahawa perjanjian jual beli itu tidak sah dan melanggar Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989, Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Hakmilik Strata 1985.

Hakim Mohd Sofian juga membenarkan relief plaintif yang menuntut agar defendan perlu mematuhi syarat dan ketentuan seperti yang ditetapkan dalam Jadual H Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989.

Hakim juga memerintahkan agar defendan membayar ganti rugi kepada plaintif untuk dinilai oleh mahkamah dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi Liquidated Ascertained (LAD) iaitu ganti rugi tertentu dan ditetapkan kepada plaintif atas kelewatan penyerahan milikan kosong.

Advertisement

Menurut pernyataan tuntutan itu, plaintif menyatakan bahawa Iskandar Investment Berhad sebagai pemilik telah memberikan pajakan selama 99 tahun ke atas tanah tersebut kepada Medini Land Sdn Bhd mulai 15 April 2013 dan berakhir pada 14 April 2112.

Plaintif mendakwa melalui Perjanjian Sewa guna bertarikh 18 Okt 2012 yang ditandatangani antara Medini Land dengan defendan, Medini Land bersetuju untuk menjual pajakan tersebut dan defendan bersetuju untuk membeli pajakan tersebut dengan syarat dan ketentuan seperti yang terdapat dalam Perjanjian Sewa Guna itu.

Plaintif berpendapat bahawa defendan turut diberi hak untuk membangunkan tanah itu sebagai kawasan pembangunan perumahan berstrata dan menjual secara sewa beli unit strata projek tersebut dan plaintif telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM10,000 sebagai komitmen terhadap defendan untuk tujuan membeli pakej dalam projek tersebut termasuk tempat letak kereta.

Advertisement

Setelah perjanjian tersebut dilaksanakan plaintif membayar baki 10 peratus harga pembelian dan dari semasa ke semasa, plaintif telah membayar baki harga pembelian mengikut kemajuan projek kepada defendan sama ada secara tunai atau melalui pembiayaan pinjaman bank.

Menurut plaintif, berdasarkan terma dan syarat dalam perjanjian tersebut, defendan telah secara salah mewakili atau memberikan gambaran salah mengenai perkara-perkara berikut termasuk bahawa plaintif dapat didaftarkan sebagai pemajak sewa atas petak strata di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Hakmilik Strata 1985.

Akibat daripada pernyataan yang salah atau penyataan yang salah oleh defendan itu, plaintif telah mengalami kerugian dan ganti rugi harus dibayar oleh defendan kepada plaintif.

Advertisement

Plaintif juga memaklumkan bahawa perjanjian yang dimeterai antara plaintif dan defendan telah gagal untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang ada, sekali gus melanggar undang-undang dalam Jadual H Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989.

Plaintif mengatakan bahawa sebarang pindaan yang dibuat oleh defendan dalam perjanjian telah melanggar terma dan syarat seperti yang terdapat dalam peraturan tersebut.

Plaintif juga mendakwa bahawa defendan telah bertindak secara salah dengan melanggar semua peruntukan ketika mengubah waktu penyerahan hak milik kosong dari 36 bulan kepada 48 bulan.

Advertisement

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Datuk Chang Kim Loong menzahirkan ucapan terima kasih atas keputusan hari ini.

Peguam Datuk Andy Wong, mewakili pembeli sementara Marcus Tan mewakili Tropika Istimewa Development Sdn Bhd.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top