BM | EN | 中文

Mahkamah Johor Bahru dakwa penganggur, rogol dan lakukan persetubuhan luar tabii

Penganggur-didakwa-rogol-lakukan-persetubuhan-luar-tabii.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 NOV: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita di sebuah rumah di Taman Perling, dekat sini, Khamis lepas.

S. Dinesh Kumar, 32, mengaku tidak bersalah atas dua perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang berusia 30 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Persisiran Pelangi 1, Taman Perling, pada pukul 6 pagi pada 12 Nov.

Bagi tuduhan merogol, dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala untuk pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii, di bawah Seksyen 377C KK yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan tidak melebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Sulehan Abd Rahman memohon agar tertuduh tidak dibenarkan jaminan kerana kesalahan yang serius dengan mangsa kini dalam trauma dan cedera akibat ditumbuk beberapa kali di bahagian muka serta memaksa mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,000.

Nur Sulehan memaklumkan mahkamah bahawa Dinesh Kumar mempunyai beberapa rekod jenayah lampau serta turut disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peguam tertuduh, RS Amarpreet Singh memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya tidak lagi bekerja dan menanggung isteri, tiga orang anak serta ibunya yang sakit.

Advertisement

Hakim V M Mabel Sheela membenarkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi yang terlibat dengan kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Dinesh Kumar mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk melakukan pemerasan kepada wanita yang sama untuk mendorongnya menyerahkan wang dan mencederakannya dengan memukul menggunakan tangan di bahagian muka pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagi perbuatan melakukan pemerasan, dia didakwa di bawah Seksyen 385 KK dan sabit kesalahan boleh dipenjara sampai tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya manakala bagi kesalahan mencedera, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 323 KK yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Advertisement

Bapa anak tiga itu juga didakwa gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa polis pada 6.25 petang, 12 Nov, di Taman Perling serta memberikan butiran diri palsu kepada pihak berkuasa di Jabatan Pendaftaran Negara, di sini, pukul 11.45 pagi 15 Nov lepas.

Majistret Nurasidah A. Rahman menetapkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan dan seorang penjamin.

Di mahkamah yang sama, Dewi Riskasari Sutardi, 25, rakan Dinesh Kumar, juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan wanita yang sama dengan menyepaknya di tempat serta tarikh yang sama. Mahkamah membenarkan jaminan RM3,500.

Advertisement

Selain Dewi, seorang lagi wanita, Salwani Yusof, 28, turut dituduh mencederakan wanita yang sama dengan memukul di bahagian muka sehari sebelumnya di alamat dan tarikh yang sama.

Salwani juga didakwa gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri untuk diperiksa polis di Larkin Jaya pada 13 Nov.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan majistret membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan TPR Benedict Choong Kai-Qi manakala dua tertuduh itu tidak diwakili peguam.

Kesemua kes akan disebut semula pada 22 Dis di dua mahkamah berkenaan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top