BM | EN | 中文

Mahkamah batal hukuman penjara enam tahun terhadap bekas pengarah syarikat

tukul-hakim-Mahkamah.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini semalam membatalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas pengarah syarikat Multicode Electronics Industries (M) Berhad yang didapati bersalah melakukan pecah amanah membabitkan RM26 juta, sembilan tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu ke atas Datuk Abul Hasan Mohamed Rashid, 77, berdasarkan isu awal yang dibangkitkan oleh Abul Hasan dalam rayuannya.

Isu awal itu adalah mengenai bidang kuasa wilayah Mahkamah Sesyen, yang perbicaraannya sepatutnya berlangsung di Johor Bahru dan bukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Advertisement

Aslam dalam penghakimannya berkata undang-undang itu jelas menyatakan bahawa had bidang kuasa tempatan bagi Mahkamah Sesyen di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan negeri, mematuhi Perintah Mahkamah (Mahkamah Rendah) 1955.

“Contohnya, Mahkamah Sesyen di Johor jatuh di bawah sempadan wilayah negeri Johor dan sebagainya,” katanya.

Aslam berkata beliau mengakui bahawa pihak pendakwaan telah berhujah bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sepatutnya mempunyai bidang kuasa wilayah yang sama seperti Mahkamah Tinggi.

Advertisement

“Bagaimanapun, hujah itu cacat memandangkan perintah 1955 sudah pun menjelaskan bidang kuasa wilayah Mahkamah Sesyen di Selangor, yang termasuk Kuala Lumpur pada waktu itu,” katanya.

Beliau seterusnya berkata mahkamah tidak mengambil kira rayuan Abul Hasan tetapi hanya menyentuh mengenai isu awal mengenai sempadan.

“Saya tidak perlu sentuh merit rayuan. Oleh itu saya mengisytiharkan prosiding di Mahkamah Sesyen adalah batal dan sabitan serta hukuman perayu dibatalkan.

Advertisement

“Berhubung isu sama ada perbicaraan semula perlu diadakan atau tidak, saya enggan memutuskannya kerana ia adalah dalam bidang kuasa pendakwa raya. Saya yakin pendakwa raya akan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan kepentingan awam serta hakikat bahawa kes ini berlaku pada 2007,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Mohd Hafiz Mohd Yusof menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Abul Hasan, 77, pertama kali didakwa di Kuala Lumpur pada 13 Mac 2009.

Advertisement

Dia didakwa melakukan pecah amanah RM26,045,473.94 dana syarikat itu di pejabat Multicode Electronics Industries di Menara Pelangi, No 2, Jalan Kuning, Taman Pelangi di Johor Bahru antara 23 Mac dan 28 Mac 2007.

Pada 22 Sept 2011, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Abul Hasan atas kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan lebih RM26 juta dana milik syarikat itu.

Tertuduh kemudian memfailkan rayuan dan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top