KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mah Sing Group Bhd merancang untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion tahun ini, lebih tinggi berbanding RM1.4 bilion pada tahun lalu.
Pemaju hartanah tempatan itu dalam satu kenyataan berkata, ia memulakan tahun baharu dengan kempen jualan ‘LIFT OFF with Mah Sing’, acara yang mempamerkan 21 projek untuk 2022 dan tawaran ganjaran kepada pembeli dengan pelbagai faedah menarik.
“Pakej jualan juga termasuk penjimatan dan insentif yang hebat dan bayaran bulanan yang rendah untuk projek dan unit terpilih,” katanya.
Mah Sing meraih jualan RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Menurut Mah Sing, pencapaian jualan 2021 didorong terutama oleh strategi terasnya dalam pemasaran digital dan hartanah mampu milik yang ditawarkan di lokasi strategik, iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
“Kumpulan percaya bahawa kadar pemulihan pasaran hartanah akan dipercepatkan jika pertumbuhan ekonomi global dan domestik kekal stabil.
“Mah Sing akan terus mencipta pelbagai hartanah mampu milik, menyedari bahawa generasi muda mempunyai keperluan yang ketara untuk kediaman sedemikian,” katanya, lapor BH Online.
Majoriti jualan hartanah 2021 adalah daripada rangkaian M Series mampu milik, yang terletak di lokasi strategik seluruh Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Mah Sing berkata, projek pembangunan yang menjadi penyumbang pendapatan utama termasuk M Vertica, M Centura, M Luna dan Meridin East.
Katanya, projek lain yang turut memberi sumbangan jualan 2021 termasuk M Oscar, M Arisa, M Adora, Southville City, Feringghi Residence, Southbay City, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan IPARC.
“Butiran lanjut mengenai prestasi kumpulan untuk tahun penuh 2021 akan dibincangkan dalam pengumuman suku keempat dan setahun penuh 2021 yang dijadualkan untuk dikeluarkan menjelang akhir Februari 2022,” katanya.
Johorkini