BM | EN | 中文

Mah Sing dapat kelulusan pengeluaran sarung tangan, penjagaan kesihatan

mah-sing.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Mah Sing Group Bhd telah memperoleh kelulusan 99.996 peratus pemegang sahamnya berhubung cadangan pempelbagaian perniagaan meliputi pengeluaran sarung tangan dan perdagangan serta produk-produk perjagaan kesihatan berkaitan, menerusi Mah Sing Healthcare Sdn Bhd.

Menurut syarikat itu, enam kemudahan pengeluaran di kilang sarung tangan pertama Mah Sing di Kapar, Klang di Selangor, akan beroperasi pada suku kedua 2021 sepertimana yang telah dirancangkan.

Ini akan disusuli dengan enam lagi barisan pengeluaran yang dijangka siap pada suku ketiga dengan kapasiti maksimum sehingga 3.68 bilion helai sarung tangan setahun.

Advertisement

“Mah Sing juga berkemungkinan akan menceburi usaha penghasilan produk penjagaan kesihatan berkaitan seperti peralatan perlindungan diri, produk dan perkhidmatan perubatan dan farmaseutikal serta aktiviti huluan dan hiliran berkaitan jika terdapat permintaan terhadapnya,” kata syarikat itu dalam kenyataan selepas mesyuarat agung luar biasa secara maya di sini, semalam.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata cadangan pempelbagaian yang menyasarkan pasaran global itu dijangka dapat meningkatkan bahagian pengeluaran sedia ada.

Pada masa sama, ini juga dapat meninjau kemungkinan penyenaraian di Hong Kong dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menambah nilainya di masa depan.

Advertisement

“Cadangan pempelbagaian itu sememangnya baik dalam usaha melengkapi teras perniagaan pembangunan hartanah sedia ada yang menumpukan pasaran domestik,” katanya.

Setakat 30 Sept, 2020, beliau berkata Mah Sing berjaya mencapai jualan hartanah kira-kira RM847.1 juta dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.1 bilion pada tahun ini.

“Projek-projek hartanah yang dilancarkan oleh Mah Sing juga mendapat sambutan seperti Carya @ M Aruna mencatatkan 90 peratus kadar pembelian sewaktu dilancarkan pada hujung minggu manakala Acacia 2 di Meridian Timur, Johor mencapai lebih 80 peratus pada pelancaran awal bulan ini.

Advertisement

“Seiring dengan sokongan lembaran imbangan yang stabil, kami akan terus meninjau kawasan tanah simpanan yang bersesuaian bagi pembangunan produk mampu milik yang akan melonjakkan lagi pertumbuhan di masa depan,” katanya ketika mengulas prospek bagi 2021.

Beliau berkata, keyakinan terhadap pasaran hartanah itu juga kian pulih dengan jangkaan keadaan ekonomi yang lebih cerah pada tahun depan, didorong oleh pelaksanaan pelbagai langkah kerajaan yang mesra hartanah.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top