BM | EN | 中文

LTAS capai 4 juta penumpang tahun ini

joh-1.jpg

Penumpang ke 4 juta, Lim Seoh Boey yang terbang bersama tiga anaknya, tiba di LTAS pada jam 10.50 pagi menerusi penerbangan AirAsia AK 6051 dari Kuala Lumpur disambut dengan upacara khas yang dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

SENAI, 20 DIS : Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) meraikan pencapaian terbaharu mengendalikan empat juta penumpang dalam masa satu tahun buat pertama kali sejak pembukaannya pada tahun 1974.

Pengerusi SATSSB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, ia merupakan tahun yang menggalakkan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

“Pencapaian ini terhasil daripada gabungan peningkatan terhadap permintaan penerbangan dan komitmen oleh rakan kongsi syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penumpang.

“Sejak mengambil alih LTAS pada tahun 2003, SATSSB telah berjaya mengendalikan sejumlah lebih daripada 33 juta penumpang dengan pertumbuhan konsisten dua angka sejak tahun 2013.

“Pencapaian ini tidak akan berhasil tanpa sokongan rakan kongsi syarikat – syarikat penerbangan, agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, para pelanggan dan penduduk di negeri Johor,”katanya pada Majlis Menyambut Penumpang Ke 4 Juta di LTAS, hari ini.

Terdahulu, penumpang ke 4 juta, Lim Seoh Boey yang terbang bersama tiga anaknya, tiba di LTAS pada jam 10.50 pagi menerusi penerbangan AirAsia AK 6051 dari Kuala Lumpur disambut dengan upacara khas yang dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berkata, secara keseluruhannya, kerajaan negeri Johor telah menetapkan sasaran 8.4 juta pengunjung bermalam dan sejumlah RM18.4 juta pelawat pada tahun 2020 bersempena dengan kempen Visit Malaysia 2020 dan Visit Johor 2020 dengan jangkaan limpahan ekonomi sebanyak RM29.4 bilion.

“Dengan pengumuman sebanyak RM15 juta menerusi Bajet Johor 2020 iaitu yang tertinggi pernah diberikan kepada sektor pelancongan di negeri ini, kami berharap agar dapat mencapai pulangan yang cemerlang pada tahun akan datang.

“Saya yakin LTAS akan terus memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri Johor di dalam sektor pelancongan dengan mengekalkan 12 laluan penerbangan domestik dan tujuh laluan penerbangan antarabangsa, termasuk penerbangan terbaharu ke Kota Bharu oleh Firefly, selain daripada destinasi – destinasi baharu pada masa akan datang,”katanya ketika berucap pada majlis itu.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top