BM | EN | 中文

LPNM giat perkasa sektor nanas menerusi program usahawan muda tani

LPNM-giat-perkasakan-sektor-nanas-menerusi-agropreneur-muda.jpg

Gambar Ehsan LPNM

Advertisement

PONTIAN, 26 DIS: Industri pengeluaran nanas negara akan terus dipergiat dan diperkasakan dengan menarik lebih ramai agropreneur muda untuk terlibat dalam tanaman komoditi tersebut yang dikategorikan sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata misi menggandakan hasil pengeluaran nanas negara mampu dicapai dengan penglibatan lebih ramai golongan muda bukan sahaja untuk menampung permintaan dari luar negara malah di peringkat domestik.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan dan akan terus dirangka oleh unit Agropreneur Muda LPNM seperti pemberian geran ‘Program Agropreneur Muda LPNM’ bagi mencapai matlamat berkenaan sekali gus menjadikan sektor penanaman nanas moden, dinamik dan progresif.

Advertisement

Mohd Khairuzamri berkata, Geran Agropreneur Muda (GAM) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tersebut diberikan kepada agroprenuer muda berusia 18 hingga 40 tahun yang terlibat dengan tanaman nanas dalam bentuk barangan seperti input pertanian dan peralatan perladangan.

Geran sebanyak RM4.489 juta telah diperuntukkan sejak 2018 yang membabitkan RM1.42 juta pada 2018, RM1.01 juta pada 2019 manakala RM2.05 juta pada 2020, katanya.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 234 agropreneur muda nanas dari seluruh negara berjaya dilahirkan yang membabitkan 202 peserta bagi sektor tanaman manakala 32 peserta bagi sektor industri asas tani.

Advertisement

“Kita (LPNM) harap dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan dengan Revolusi 4.0 yang boleh diaplikasikan dalam pertanian khususnya dalam tanaman nanas, orang muda akan tampil ke depan dengan membawa pembaharuan untuk membangunkan industri ini.

“60 peratus daripada pengusaha ketika ini berumur sekitar 60 tahun di mana penerimaan dalam kalangan mereka terhadap teknologi agak sukar apabila kebanyakan amalan dalam industri nanas masih konvensional dengan penggunaan buruh. Jadi, ini yang kita hendak ubah penglibatan lebih ramai dalam kalangan anak muda mencorakkan pemodenan industri nanas itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi tinjauan mesra usahawan muda agropreneur tanaman nanas di kebun nanas di Parit Sikom, di sini, baru-baru ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah serta Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Advertisement

Mohd Khairuzamri berkata dalam suasana pandemik ketika ini kaedah pemasaran dalam norma baharu perlu dipertingkat seperti di laman sosial Facebook dan Instagram.

Terkini, katanya, LPNM sedang mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkenal Shopee Malaysia yang bertujuan untuk memperluas produk usahawan nanas dalam talian dengan mengumpulkann semua pengusaha nanas dalam satu platform.

“Ia dijangka dilancarkan pada awal tahun 2021,” katanya.

Advertisement

Selain itu, katanya, LPNM juga menggalakkan program perluasan tanaman nanas secara integrasi yang akan memberi peluang dan manfaat kepada pengusaha dan pekebun kecil dalam mempelbagaikan hasil tanaman dalam satu kawasan.

“Sekarang kita galakkan mengusahakan (tanaman nanas) secara integrasi sebagai contoh, sekiranya di ladang kambing atau cili atau apa-apa sahaja apabila ada kawasan lebih, kita galakkan untuk mereka tanam nanas bermaksud tidak bergantung dengan satu komoditi sahaja…sebelum dapat rasa hasil nanas…hasil cili, kita sudah dapat…kita boleh buat kerana kita ada kepakaran dalam perkara itu,” katanya.

Beliau berkata dalam mendepani pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan sektor tanaman nanas baik dari segi pengeluaran dan juga pengeksportan, kerajaan telah memberikan inisiatif kepada LPNM menerusi pakej rangsangan ekonomi dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM13.6 juta (2020-2021) dengan sebanyak 56 peratus daripadanya telah dimanfaatkan manakala selebihnya akan dilaksanakan pada tahun depan.

Advertisement

“Saya secara peribadi menyeru orang ramai khususnya golongan muda agar terlibat dalam sektor ini. Ia kerana dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) lebih 90 peratus pengusaha nanas yang berada di bawah golongan B40 telah kita keluarkan daripada kategori tersebut.

“Tanaman nanas seluas 16,000 hektar pada masa kini masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan luar negara terutamanya jenis nanas MD2 yang mendapat permintaan tinggi khususnya dari negara China.

“Johor adalah negeri terbesar untuk tanaman nanas iaitu 54 peratus daripada 16,000 hektar kawasan tanaman diikuti Sarawak sekitar hampir 18 peratus,” kata Mohd Khairuzamri sambil menambah nilai eksport nanas negara pada tahun lepas berjumlah RM491 juta.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top