BM | EN | 中文

LPNM bakal bangunkan produk hiliran baharu

LPNM-bakal-bangunkan-produk-hiliran-baharu-Sahruddin.jpg
Advertisement

MUAR, 21 SEPT: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kini dalam usaha untuk membangunkan produk hiliran baharu iaitu pelet makanan haiwan ruminan yang dihasilkan daripada sisa buah berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kajian untuk membangunkan produk terbaharu itu kini sedang giat dijalankan bersama FGV Holdings Bhd untuk memastikan ia dapat menembusi pasaran tahun depan.

“Kajiannya sudah bermula sejak tahun lepas dengan kita bekerjasama dengan FGV tetapi projek pertama untuk skala industri hanya dijangkakan dapat dilakukan pada November tahun ini di Pahang.

Advertisement

“Kita yakin dengan usaha terbaharu ini dapat memberi nilai tambah kepada industri nanas selain akan meningkatkan pendapatan para penanam nanas,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Taklimat Program dan Pengurusan Teknologi Tanaman Nanas di Dewan Auditorium Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, semalam.

Program itu yang dianjurkan bersama Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) Wilayah Segamat turut dihadiri oleh Pengerusi KAF Wilayah Segamat, Datuk Asri Haris dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh.

Advertisement

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata pelet makanan haiwan ruminan itu bersifat lebih ‘hijau’ (mesra alam) berbanding makanan haiwan sedia ada selain mempunyai kandungan nutrien yang lebih baik dari segi tenaga dan serat.

“Kita jangkakan ia boleh didapati oleh pengguna pada tahun depan. Cuma, sekarang kita perlu mengatur (mengurus) soal sisa nanas ini kerana umum tahu, seluruh negara ada tanaman nanas.

“Jadi mungkin kita (LPNM) akan menubuhkan hab-hab tertentu yang lebih strategik untuk membolehkan pekebun menghantar sisa nanas mereka ke situ, kemudian baru kita akan lakukan semi proses untuk dihantar ke kilang bagi hasilkan produk akhir,” katanya.

Advertisement

Mengenai program yang dihadiri 150 peserta itu, Dr Sahruddin berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan menyebarluaskan maklumat mengenai kepelbagaian sumber ekonomi pertanian nanas kepada warga Felda terutamanya generasi baharu.

Ini sejajar dengan perkembangan industri buah nanas yang menyaksikan permintaan tinggi daripada masyarakat global termasuk China.

Tambahan pula, katanya, Johor masih mempunyai banyak tanah yang boleh dibangunkan untuk penanaman nanas seperti di Segamat dan juga Kota Tinggi.

Advertisement

“Jadi harapan saya, sekiranya ada tanah, berbincanglah dengan LPNM supaya kami boleh beri nasihat termasuk dari segi bantuan kewangan yang disediakan untuk menjayakannya,” kata beliau.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top