BM | EN | 中文

‘Love Scam’: Wanita di Johor Bahru ditipu lelaki Australia, rugi setengah juta ringgit

love-scam.jpg

JOHOR BAHRU, 30 OGOS: Seorang wanita berusia 58 tahun menjadi mangsa terbaharu ‘Love Scam’ dipercayai ditipu seorang lelaki Australia sehingga kerugian RM508,600, sejak November tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata wanita yang kematian suami itu, dipercayai mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook sejak Oktober 2019.

“Suspek memberitahu mangsa yang syarikatnya mengalami masalah kewangan dan memerlukan bantuan kewangan daripada mangsa.

“Mangsa terlalu mempercayai suspek berumur awal 40-an itu sehingga sanggup menjual rumah, kereta, barang kemas miliknya serta duit peninggalan mendiang suami untuk membantu suspek.

“Mangsa telah memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu dengan mana-mana pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata sejak November 2019 sehingga 26 Ogos tahun ini, mangsa yang membuat laporan polis semalam, dipercayai telah membuat sebanyak 48 transaksi.

“Apabila mangsa mendesak dan mengajak suspek untuk berjumpa, suspek mula memberikan pelbagai alasan sehingga gagal dihubungi lagi. Setelah itu, mangsa menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, dalam minggu ini sahaja, dua kes Love Scam melibatkan warga emas dan kerugian besar telah dilaporkan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan trend jenayah Love Scam itu dan sentiasa berwaspada daripada sewenang-wenangnya menyerahkan wang dengan jumlah yang besar kepada individu tidak dikenali.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top