BM | EN | 中文

Longgok sisa pepejal secara haram di Johor, syarikat dan empat lelaki didenda

Mahkamah_Johor_Bahru.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 APR: Sebuah syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan dan empat individu masing-masing didenda antara RM12,000 dan RM20,000, oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal pembinaan dan perindustrian secara haram, antara Julai dan Oktober tahun lepas.

Syarikat Sama Mahir Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Tan Chee Siong, 49, serta kesemua empat lelaki berkenaan iaitu Nordin Abdul Said, 39; Tey Chiou Hwai, 44; Chong Wei Lun, 30; serta Chen Wei Xuan, 26, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Ahmad Fuad turut menetapkan keempat-empat mereka boleh dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Advertisement

Mengikut kertas pertuduhan, Sama Mahir Sdn Bhd didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah kerajaan Lot 3053, Mukim Plentong, di sini, pada kira-kira 10.30 pagi, 1 Sept lepas.

Nordin yang merupakan pemandu lori pula didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di atas tanah Lot 705, Mukim Sungai Tiram, di sini, pada kira-kira 4 petang, 14 Julai lepas, manakala Tey yang merupakan pengurus syarikat didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah Lot 580, Mukim Tebrau, di sini, pada kira-kira 4.40 petang, 4 Ogos lepas.

Chong yang merupakan pemandu lori pula didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pembinaan di atas tanah Lot PTD 216964, Kampung Plentong Baru, di sini, kira-kira 4.46 petang 7 Sept lepas manakala Chen yang merupakan pengarah syarikat didakwa melakukan perbuatan sama di atas tanah Lot 211042, Kampung Plentong Baru, kira-kira 11 pagi, 12 Okt lepas.

Advertisement

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Rubiah Maulud, manakala Sama Mahir Sdn Bhd serta keempat empat lelaki berkenaan tidak diwakili peguam.

Advertisement

Sama Mahir Sdn Bhd dan kesemua Orang Kena Saman (OKS) berkenaan dalam rayuan masing masing memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan atas pelbagai alasan termasuk mengalami masalah kewangan ekoran pandemik COVID-19, selain menanggung ibu bapa serta ahli keluarga lain, namun, Rubiah memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Turut hadir mengikuti prosiding pertuduhan berkenaan, Pengarah SWCorp Johor Cairul Hisham Jalaluddin.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top