BM | EN | 中文

Lompat parti: Demokrasi dan harapan rakyat terkubur akibat sikap pemimpin

Cheo-Yee-How_Taqiuddin-Cheman-1.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 1 JUL: Demokrasi yang selama ini menjadi asas pentadbiran negara kini dianggap seolah-olah sudah terkubur akibat dari tindakan sesetengah ahli politik yang bertindak melompat parti.

Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata demokrasi yang selama ini tertegak di negara ini kini menjadi korban dan secara langsung meranapkan harapan rakyat yang mengharapkan kerajaan terbentuk adalah hasil dari suara mereka.

“Tindakan melompat parti ini akan merugikan semua pihak. Yang paling teruk terjejas adalah rakyat yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik dari sistem demokrasi.

Advertisement

“Perkara asas seperti demokrasi yang diamalkan di negara ini telah mati. Sekiranya ada pilihanraya pastinya wakil rakyat yang menang akan mampu mengubah haluan mereka di tengah jalan kerana sudah ada rujukan seperti yang berlaku hari ini.

“Kita tidak mahu suara rakyat terus dikebelakangkan dan kita mahu ia menjadi mandat utuh kepada institusi pemerintahan di negara ini, itu harapan saya,” ujarnya ketika dihubungi.

Mengulas perkara yang sama Adun Perling, Cheo Yee How berkata sudah tiba masanya akta lompat parti yang pernah dibawa beliau dikuatkuasakan bagi menbendung tindakan sesetengah wakil rakyat yang mahu melompat parti.

Advertisement

Jelasnya, tindakan yang merosakkan sistem demokrasi negara perlu diperhatikan secara serius kerana ia adalah suara rakyat terbanyak.

“Kita lihat bagaimana rakyat sebelum ini menunjukkan sikap untuk berhadapan dengan kerajaan yang baharu namun ianya telah dicemarkan oleh pemimpin yang mahukan kuasa sehingga membelakangkan pilihan rakyat.

“Usul untuk mewujudkan akta lompat parti ini pernah dibawa saya dalam sidang DUN Johor dan perkara tersebut telah dibincang.

Advertisement

“Kini sudah tiba masanya perkara itu disemak semula bagi mengukuhkan serta mempertahankan demokrasi yang sedia wujud.

“Bagaimana sekiranya pada PRU akan datang satu pihak menang dan kemenangan itu boleh dikhianat dengan tindakan wakil rakyat yang membuat tindakan melompat parti.

“Sebelum ini kita pernah lihat perkara ini terjadi ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah Perak dan pemerintahan gugur akibat Adun yang melompat parti.

Advertisement

“Hari ini kita lihat pula bagaimana negara kita boleh berubah kerajaan dengan tindakan yang sama,” ujarnya lanjut.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top