BM | EN | 中文

LOMBONG TERBIAR DI AYER HITAM DIBIMBANGI UNDANG MUSIBAH

LOMBONG-TERBIAR-UNDANG-MUSIBAH.jpg
Advertisement

Oleh: Amni Jagat

AYER HITAM, 12 OGOS: Pengabaian aspek keselamatan selepas pihak tertentu meraih keuntungan boleh menyebabkan nyawa orang ramai, terutamanya kanak-kanak menjadi taruhan.

Demikian dihadapi penduduk Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam, Johor apabila sebuah lombong ditinggalkan hampir tiga tahun tanpa sebarang penyelenggaraan oleh pemaju sebelum ini.

Advertisement

“Kebiasaannya ia menjadi tempat permainan kanak-kanak tanpa ada sebarang faktor (dan langkah) keselamatan terhadap mereka,” luah Farid, 45, penduduk kampung menceritakan situasi lombong terbiar tersebut.

Katanya, ia menimbulkan kekhuatiran penduduk kampung kerana keadaannya yang tidak berpagar, tanpa sebarang langkah keselamatan diambil sehingga dibimbangi mengundang musibah pada masa akan datang.

“Memang kita masih belum dengar apa-apa cerita yang terjadi di lombong berkenaan, tapi adakah kita nak tunggu sampai terjadi sesuatu baru ada tindakan terhadap lombong tersebut? soal Farid.

Advertisement

Beliau merujuk tragedi yang berlaku 17 Mei lalu, apabila seorang remaja berumur 13 tahun yang mandi-manda bersama abang serta rakannya lemas di kawasan takungan air kuari di Felda Ayer Hitam, kira-kira sepuluh kilometer dari Kampung Parit Kangkar.

Malah kata Farid sekiranya berlaku hujan, lombong tersebut akan dipenuhi air, dan kemudiannya melimpah ke rumah berhampiran.

“Ini menyebabkan penduduk berdekatan mengalami kerugian yang teruk sehingga ada tanah di kawasan rumah di sekitar lombong itu mula terhakis,” katanya ketika dihubungi.

Advertisement

Sementara itu menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, lombong tersebut adalah bekas lombong logam yang ditinggalkan pemaju sebelum ini.

Menurutnya lagi, selain bakal mengundang musibah, seharusnya pemaju tersebut bertanggungjawab dengan menutup lombong berkenaan dan bukan meninggalkannya dalam keadaan seperti yang ada sekarang ini.

“Lombong itu terdedah dengan risiko, apatah lagi dikesan berdekatan kawasan sekolah.

Advertisement

“Ini mengundang pelbagai masalah sekiranya kanak-kanak mula bermain di situ,” katanya sewaktu ditemui di tapak lombong berkenaan.

Kata Khairuddin, tinjauan pihaknya mendapati tiada saluran air keluar dan pengusaha sebelum ini seharusnya memikirkan kaedah mengeluarkan air dari lombong berkenaan.

“Saya mencadangkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berwajib menutup lombong ni serta menimbus semula untuk keselamatan serta keselesaan penduduk,” kata Khairuddin.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top