BM | EN | 中文

LOMBONG BAUKSIT KOTA TINGGI: JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS BELUM TERIMA PERMOHONAN

Jabatan-Mineral-dan-Geosains.jpg

SHAH ALAM, 18 OGOS: Jabatan Mineral dan Geosains belum menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada Felda atau Syarikat Perlombongan The One Minerals Mining Sdn Bhd untuk memulakan operasi perlombongan di tanah rancangan Felda di Kota Tinggi, Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, berdasarkan maklumat daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor juga, pihaknya mendapati tiada tenemen mineral dikeluarkan kepada syarikat berkenaan untuk melombong bauksit di kawasan yang telah dinyatakan.

“Berdasarkan perundangan yang sedang berkuatkuasa, mana-mana pengusaha perlombongan di atas tanah milik hendaklah terlebih dahulu memohon tenemen mineral daripada pihak berkuasa negeri yang turut merangkumi kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar.

“Seterusnya, pengusaha juga perlu memohon surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memulakan sebarang kerja-kerja di tapak,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor SH Online.

Selasa lalu, media melaporkan The One Minerals Mining Sdn Bhd dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong berkata, perlombongan mineral di atas tanah milik Felda di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagikan kepada lima bahagian iaitu bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitkan kawasan keluasan 404.7 hektar.

Mengulas lanjut, Shahar berkata, pihaknya turut merujuk kepada beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar Johor dan Felda Wilayah Johor Bahru bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kesemua agensi tersebut tidak mengetahui berkaitan cadangan atau sebarang kelulusan perlombongan diberi kepada Syarikat The One Minerals Sdn Bhd.

“Kami juga ingin menarik perhatian kepada mana-mana pihak yang mahu melabur dalam industri perlombongan hendaklah mematuhi perundangan dan peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Persekutuan serta Pihak Berkuasa Negeri masing-masing seperti Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri,” katanya.

Terdahulu kerajaan negeri Johor mengesahkan tiada sebarang permohonan dari mana-mana syarikat untuk menjalankan projek mega perlombongan bauksit di Johor seperti yang diwar-warkan sebuah syarikat swasta sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata pihaknya telah menyemak dengan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berhubung perkara tersebut,

Jimmy berkata kedua-dua jabatan juga mengesahkan tiada sebarang permohonan bagi perlombongan bauksit di Kota Tinggi.

“Sehingga kini kerajaan Johor tiada maklumat mengenai pelaburan ini (projek mega perlombongan bauksit di Kota Tinggi),” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon mengesahkan tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana firma swasta untuk menjalankan projek perlombongan bauksit di Kota Tinggi.

Tan berkata, beliau telah menyemak dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) setelah timbul dakwaan tersebut.

Menurutnya, hasil semakan tersebut juga tidak menemukan sebarang maklumat mahupun sebarang laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagaimana yang didakwa diperoleh oleh firma tersebut,” kata Chen Choon.

Tambahnya, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut mengesahkan tiada sebaranfg permohonan dikemukakan oleh sebarang firma swasta bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di daerah tersebut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top