LIMA ANJAKAN LAUTAN BIRU MEMACU KEJAYAAN USAHAWAN
Gambar Ehsan elitemarketer.id

LIMA ANJAKAN LAUTAN BIRU MEMACU KEJAYAAN USAHAWAN

Oleh: Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim

Budaya keusahawanan merupakan satu aspek yang diberi perhatian oleh kerajaan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Usaha ini telah dizahirkan dalam belanjawan 2020 untuk menarik minat golongan belia memilih keusahawanan sebagai kaedah untuk mendapat sumber pendapatan.

Belanjawan 2020 menyediakan geran sebanyak RM445 juta untuk pembangunan usahawan bumiputera, RM100 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Kecil Komuniti Cina dan RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bantuan dan kemudahan ini diuruskan oleh pelbagai agensi dibawah kerajaan persekutuan. Peluang ini harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh rakyat merentasi sempadan kaum untuk memulakan perniagaan atau memperkasakan perniagaan mereka.

Model perniagaan pada masa kini telah berubah mengikut perubahan teknologi yang lebih canggih. Ini juga selari dengan perkembangan media sosial dan revolusi digital yang membantu meningkatkan pasaran kepada produk dan perkhidmatan. Oleh itu, para usahawan mikro, kecil dan sederhana perlu melihat perkembangan teknologi ini sebagai peluang perlu diterokai untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.

Untuk terus mempunyai daya saing yang tinggi, usahawan perlu mempunyai strategi perniagaan yang dapat menarik minat pembeli untuk membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan. Anjakan Lautan Biru (Blue Ocean Shift) sering disebut oleh pakar strategi boleh digunakan untuk membantu usahawan merangka strategi perniagaan supaya lebih mampan.

Anjakan Lautan Biru adalah satu kaedah, pendekatan dan cara untuk para usahawan meningkatkan hasil jualan dari pelbagai aspek iaitu berdasarkan permintaan, keperluan dan kemahuan pelanggan untuk bersaing dalam ruang yang lebih meluas. Disini terdapat Lima Anjakan Lautan Biru yang boleh dijadikan panduan untuk kita membuat anjakan, berubah dan mengurangkan persaingan supaya mendapat hasil yang lebih tinggi.

Anjakan pertama adalah memahami kehendak pelanggan. Untuk lebih memahami, usahawan perlu melakukan sedikit kajian supaya produk atau perkhidmatan memenuhi kehendak pelanggan. Kajian boleh dijalankan dengan mengambilkira empati terhadap keperluan pelanggan.

Anjakan kedua adalah sentiasa meningkatkan inovasi terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dengan nilai tambah berdasarkan hasil kajian yang dilakukan. Inovasi ini akan memberi pelbagai perspektif kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan supaya persaingan dapat dikurangkan.

Anjakan yang ketiga adalah untuk melakukan perkongsian sumber dikalangan usahawan supaya kos untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan boleh dikurangkan. Strategi ini juga boleh memberi ruang usahawan untuk meningkatkan produktiviti dengan memberi fokus kepada kualiti dalam bidang kepakaran. Perkongsian sumber juga boleh mendorong kepada ramai orang untuk menceburi perniagaan dengan sumber sedia ada. Dengan erti kata lain sesama usahawan boleh berbincang untuk membantu meningkatkan hasil jualan.

Dengan bantuan geran dan pinjaman, para usahawan boleh berusaha untuk meningkatkan penampilan produk dan perkhidmatan dengan lebih menarik. Kursus dan latihan kemahiran juga disediakan. Anjakan kepada penampilan produk dan perkhidmatan juga perlu ditambahbaik dari perspektif berbeza dengan keunikan tersendiri.

Sudah tentu setiap pengusaha memahami apa yang dihasilkan dan tahu kekuatan yang perlu ditampilkan. Anjakan keempat ini boleh memberi lonjakan kepada produk dan perkhidmatan supaya boleh memperluaskan pasaran keperingkat nasional dan global.

Anjakan Lautan Biru kelima yang disarankan adalah meluaskan pasaran dengan melaui pasaran digital. Semua usahawan perlu lebih berani untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan digital. Pasaran di ruangan digital dan media sosial sangat meluas. Usahawan boleh mewujudkan rangkaian jualan sendiri, menggunakan media sosial untuk memuatnaik video pengenalan produk dengan lebih menarik, menghasilkan infografik yang lebih bermaklumat dan membina rangkaian hubungan baik dengan pelanggan.

Lima Anjakan Laut Biru Keusahawanan yang digariskan ini boleh memberi rangsangan kepada para usahawan untuk terus melakar inisiatif bagi meningkatkan keupayaan perniagaan. Dengan bantuan dana kerajaan dan kemudahan pinjaman yang disediakan, inisiatif tersebut boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan kertas cadangan bagi tujuan permohonan disamping dapat menentukan hala tuju perniagaan supaya lebih berjaya.

Justeru itu, usahawan boleh bersaing ke peringkat yang lebih tinggi dan membantu negara untuk meningkatkan keluaran dalam negara seterusnya mencapai hasrat wawasan kemakmuran bersama.

Johorkini

 

Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim bertugas di Media and Game Innovation Center of Excellence (MaGICX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Beliau juga merupakan anggota Lembaga Pengarah Digital Johor

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )