PONTIAN, 2 NOV: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyeru semua pihak supaya berkempen dengan bersih tanpa menggunakan taktik ekstremis sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Beliau berkata, kempen haruslah dijalankan tanpa memainkan isu-isu sentimen ataupun tohmahan-tohmahan yang tidak berasas.
“Biar kempen secara bersih supaya kita bertanding atas dasar-dasar dan bukanlah berdasarkan fitnah.
“Biarkan (rakyat) bandingkan parti mana yang bersih, parti mana yang tak terlibat dengan rasuah dan parti mana yang cuba lawan rasuah,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di hari penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai, disini.
Guan Eng yang juga merupakan Menteri Kewangan berharap agar sokongan penuh dan sepatutnya diberikan kepada Pakatan Harapan sepanjang kempen berlangsung.
Ditanya mengenai persiapan DAP untuk PRK ini, beliau berkata DAP sedia memberi sokongan penuh kepada PH.
JohorKini