BM | EN | 中文

Liga-M: Penonton dibenar masuk stadium mulai 6 April

Penonton-masuk-stadium-mulai-6-April-Reezal.jpg

Gambar Ehsan FB Reezal Merican

Advertisement

KUALA LUMPUR, 4 APR: Perkhabaran gembira kepada seluruh peminat bola sepak tempatan, apabila Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan, penonton akan mula dibenar menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di stadium bermula 6 April ini.

Ini selepas Reezal Merican turun menonton perlawanan projek perintis kemasukan penonton ke stadium antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, menurut kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Kenyataan itu menyebut pengawasan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Stadium Sultan Ibrahim, menyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi lampu hijau kepada MFL dalam membenarkan kembali kemasukan penonton.

Advertisement

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain, kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.

“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat, tetapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini, saya boleh katakan tiada masalah,” kata Reezal Merican seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Pada aksi kelmarin, 2,000 penonton dibenar masuk ke stadium bermula 6 petang, sebelum pintu ditutup pada jam 8.30 malam. Penonton juga menyaksikan perlawanan itu dengan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat duduk penyokong sepanjang perlawanan.

Advertisement

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang menyambut baik perkembangan positif itu berharap, pihak pengurusan pasukan bertanding bersedia menerima kemasukan penonton di venue masing-masing.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan di sini harap menjadi permulaan untuk diikuti di venue-venue lain pada perlawanan ketujuh Liga Super.

“Melalui pewartaan (projek perintis) yang membenarkan penyokong boleh masuk ke stadium mulai 1 April, MFL telah bersedia sepenuhnya dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama semua pasukan, bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Advertisement

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Premier masih tertakluk kepada kelulusan MFL, di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top