BM | EN | 中文

Liga-M disambung semula 26 Ogos

Liga-Bolasepak-Malaysia-MFL.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020, yang tertangguh sejak Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19, disambung semula 26 Ogos ini dengan beberapa aksi tertunda akan berlangsung 22 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga-M, yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, lebih kompetitif dan berkualiti.

MFL memaklumkan perlawanan tertunda itu melibatkan aksi Liga Super membabitkan perlawanan antara PJ City FC menentang Terengganu FC serta aksi Liga Premier antara UKM FC dan Kelantan.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata badan pentadbir liga bola sepak tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga-M tersebut adalah terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa Dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai lepas.

“Bagi memastikan kelancaran Liga-M 2020, MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan,” kata Ab Ghani, lapor Bernama.

Beliau dalam kenyataan pada 17 Julai berkata kesemua pasukan perlu mematuhi tatacara ditetapkan antaranya venue perlawanan perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), disahkan MFL dan wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

Advertisement

Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan venue perlawanan sebelum liga bermula dan MFL akan mengedarkan prosedur operasi standard (SOP) pengelolaan perlawanan kepada semua pasukan, katanya.

Sementara itu, Ab Ghani berkata kesemua pasukan Liga-M dibenarkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan tanpa kehadiran penonton di stadium yang berdaftar dengan MITI bermula 2 Ogos.

“Stadium itu hendaklah menjalani proses nyah kuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan dan perlawanan tersebut perlu dimainkan tanpa penonton, hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani ujian calitan sahaja dibenar berada di stadium,” jelasnya.

Advertisement

Dalam pada itu, MFL kekal dengan format pertandingan baharu iaitu liga dijalankan secara separuh liga dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti telah ditetapkan.

Kempen Piala Malaysia yang dijadual bermula 17 Okt, turut dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Sebelas pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan feeder) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Advertisement

“Nasihat MFL supaya pemain, pegawai serta semua yang terlibat menjaga kepentingan kesihatan serta akur kepada arahan SOP bagi memastikan bukan sahaja mahu memutuskan rangkaian tetapi bebas daripada pandemik COVID-19,” kata Ab Ghani.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top