BM | EN | 中文

Liga Hoki Remaja kembali November ini

liga-hoki-remaja.jpg

Gambar Ehsan FB Shekhinah PR

Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sukan hoki negara kembali rancak apabila saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 bakal membuka tirai bermula 26 November depan.

Selepas hampir lima bulan sepi tanpa sebarang pertandingan kompetitif akhirnya 25 pasukan sudah mengesahkan akan menyertai kejohanan itu yang berlangsung hampir dua bulan.

Walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19, penyertaan cukup menggalakkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Anil Jeet Singh.

Advertisement

Katanya lagi, kejohanan itu akan dilangsungkan dalam dua divisyen iaitu lapan pasukan dalam divisyen satu manakala 17 lagi pasukan bersaing dalam divisyen dua.

Beliau berkata, pecahan jumlah pasukan yang akan beraksi di Divisyen Satu serta Divisyen Dua sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM dalam satu mesyuarat sebelum ini.

“Jawatankuasanya juga melantik Vinod Anand daripada Kuala Lumpur sebagai Pengarah Kejohanan yang akan dibantu dua Penolong Pengarah Kejohanan. “Sementara itu Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang akan berlangsung pada 10 November hingga 20 November depan hanya akan diketahui jumlah penyertaan negeri selepas 11 Oktober ini yang juga tarikh tutup bagi negeri untuk mengesahkan penyertaan mereka,” katanya, lapor Arena Metro.

Advertisement

Selain itu, Anil Jeet berkata, bagi memberikan penghormatan kepada pegawai wanita yang terbabit dalam sukan hoki, buat kali pertama, KHM menyerahkan tugas selaku Pengarah Kejohanan bagi Piala Tun Abdul Razak 2021 kepada pegawai wanita.

“KHM melantik Puan Anant Kaur daripada Selangor yang akan turut dibantu dua Penolong Pengarah Kejohanan,” katanya.

Mengikut rekod, penganjuran liga hoki remaja amat penting memandangkan Malaysia diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung pada 2023.

Advertisement

Ini bermakna, Malaysia kali keempat diberikan tanggungjawab menganjurkan kejohanan terbabit selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2009 bersama Singapura.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top