PONTIAN, 8 NOV : Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Faridah Aryani Abd Ghaffar yang dikatakan hilang sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada 2 November lepas menjelaskan strategik kempennya dalam sidang media di sini, pagi tadi.
Jurucakap bagi Faridah, Shamsubahrin Ismail berkata, kelewatan berkempen merupakan sebahagian strategik kempen mereka.
“Kita mempunyai 14 hari untuk berkempen, namun kerana kekurangan dana, kita memutuskan untuk berkempen habis-habisan dalam masa tujuh hari terakhir sahaja.
“Dalam masa tujuh hari ini, kita mempunyai dua kaedah iaitu melawat 27 saluran dan disamping berkempen menggunakan media sosial,” katanya.
Bercakap mengenai cara meyakinkan pengundi di Tanjung Piai terutama golongan B40 sebagai sasaran, Faridah menjawab beliau akan mengupas isu berkenaan golongan itu dan agendanya untuk menambah baik mereka.
“Saya sendiri berasal dari golongan B40, maka saya akan perjuangkan nasib golongan ini.
“Isu yang akan saya angkat seperti isu pekerjaan, status ekonomi dan kualiti hidup bersama keluarga,” katanya.
Tambah ibu tunggal itu lagi, perjuangan yang dibawa bersifat menyeluruh, tidak tertumpu kepada pemandu teksi walaupun beliau turut mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM).
“Kami tidak hanya fokus kepada pemandu teksi sahaja, tetapi semua golongan B40 termasuk nelayan dan peniaga kecil”
Sebelum ini, GTSM dikatakan bakal meletakkan pengasas Big Blue Taxi Service, Shamsubahrin sebagai calon dalam PRK Tanjung Piai, namun beliau menarik diri saat akhir akibat serangan jantung sebelum penamaan calon.
JohorKini