JOHOR BAHRU, 6 SEPT: Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim meminta pihak berkuasa memantau aktiviti beberapa lombong kuari aktif yang berdekatan dengan Kampung Petani Kecil Batu2 ½, Minyak Beku, Batu Pahat susulan aduan penduduk yang mendakwa aktiviti letupan di kuari-kuari berkenaan menyebabkan rumah mereka retak.
Menurut Khairuddin, tinjauan pihaknya di kampung tersebut saya dapati terdapat kesan-kesan terhadap letupan kuari berkenaan. Terdapat rumah-rumah yang retak akibat dari kerja-kerja kuari berkenaan dan ini suatu perkara yang membahayakan pihak penduduk.
“Selain itu terdapat kesan serpihan batu dari letupan kuari berkenaan sehingga membawa penduduk kepada risiko keselamatan,” Khairuddin berkata ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat tiga kuari yang beroperasi berdekatan kampung tersebut, yang menyumbang kepada kegusaran di hati penduduk ekoran lokasinya yang berhampiran kawasan perumahan mereka.
“Saya akan kemukakan perkara ini kepada Mesyuarat Tindakan Daerah dan saya juga telah memohon agar pihak penduduk beramai-ramai untuk membuat laporan polis ke balai berdekatan.
“Aduan mereka juga boleh dibawa ke senarai jadual Persatuan Bersatu Hak Pengguna yang ditubuhkan oleh penduduk di kawasan DUN Senggarang untuk diambil tindakan segera,” katanya, sambil menyatakan beliau akan turut membangkitkan isu terbabit pada sidang DUN Johor yang akan bermula 12 September ini.
Tegasnya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan terhadap pemilik kuari terbabit selain mendesak supaya pemilik kuari itu menampung kos kerugian penduduk yang perlu membaiki semula rumah masing-masing.
Johorkini