SHAH ALAM, 5 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampung kos pembinaan semula 32 rumah di Hulu Langat yang hanyut dan hancur akibat banjir bulan lalu, kata Exco Pembangunan Generasi Muda Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Katanya pejabat tanah dan daerah juga menyumbang sejumlah dana bagi memastikan proses pembinaan rumah berjalan lancar.
Beliau yang mengetuai jawatankuasa penyelarasan pascabanjir daerah itu menjelaskan bantuan diberi kepada semua dengan syarat tanah rumah adalah milik mangsa.
“Bantuan ini bukan hanya untuk asnaf tetapi mana-mana mangsa yang kehilangan rumah.
“Buat masa sekarang mangsa tinggal menumpang di rumah saudara mara. Ada yang tinggal di kabin disediakan Kerajaan Negeri atau menyewa. Bayaran bulanan juga ditanggung LZS,” katanya, lapor SelangorKini.
Pada 29 Disember Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan Hulu Langat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dan mengalami kerosakan sekali gus memerlukan lebih proses pembersihan.
Amirudin Shari berkata ia diikuti Sri Muda, Shah Alam dan Bukit Lanchong, Subang Jaya.
Sebelum itu kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM2 juta daripada dana Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.
Johorkini