KUCHING, 3 MAC: Lembaga Lada Malaysia (MPB) menawarkan peluang kepada pekebun-pekebun kecil lada di seluruh negara untuk menyertai Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin hari ini berkata skim tersebut membolehkan pekebun-pekebun kecil mendapatkan manfaat susulan daripada trend peningkatan harga komoditi itu di pasaran.
“Saya menyeru semua pekebun kecil lada untuk merebut peluang ini dengan mengemukakan permohonan ke pejabat MPB yang berhampiran dengan segera,” katanya ketika berucap di Majlis Pengagihan Pelitup Muka dan Cecair Sanitasi Tangan kepada Pemegang Taruh dalam Industri Lada di ibu pejabat MPB di sini semalam.
Beliau berkata harga lada telah melonjak kepada RM10.10 sekilogram bagi lada hitam dan RM17.40 sekilogram bagi lada putih, trend menaik itu dijangka akan berterusan, justeru pengusaha komoditi itu yang kebanyakannya berada di Sarawak dan Johor supaya meneruskan pengeluaran lada.
“Saya menasihati pengusaha-pengusaha tanaman lada di peringkat huluan supaya terus mengusahakan ladang dan juga tanaman lada mereka kerana harga lada akan akan berada pada kedudukan baik pada masa depan” katanya.
Pada majlis itu, Willie turut menyampaikan baucar bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada 12 pekebun lada di bahagian Serian dan daerah Bau bernilai RM7,050.
Beliau berkata bantuan dalam bentuk baucar tersebut dapat membantu pekebun lada membeli input pertanian, peralatan pertanian dan selenggara kebun di kedai-kedai panel yang dilantik oleh MPB.
Dalam pada itu, seorang pekebun di daerah Bau menerima bantuan di bawah Skim Tanaman Lada Baharu tahun 2021 bernilai RM2,600 dalam bentuk pembayaran insentif keratan lada dan tiang sokongan pada tahun pertama serta pembekalan baja sebatian dan dolomite untuk tempoh dua tahun.
Bernama