JOHOR BAHRU, 23 OKT : Seorang lelaki warganegara Australia maut dalam kemalangan di KM72.5 Lebuhraya Plus Arah Selatan, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Chathan Brendan Joseph, 32 maut di tempat kejadian selepas Hyundai Starex dinaiki dipercayai terbabas.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.29 malam berhubung kejadian itu.
“Sejurus itu seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalanraya melibatkan sebuah kereta Hyundai Starex yang telah terbabas.
“Terdapat seorang mangsa lelaki 32 tahun warganegara Australia disahkan
meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan kira-kira jam 11.03 malam.
JohorKini