MUAR, 3 OKT: Seorang pemandu lori putus kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kilometer 115 arah Selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 3.47 petang itu, mangsa yang berumur 39 tahun itu putus kaki kanan sehingga pergelangan kakinya.
Menurut Pegawai Operasi balai Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Azis, berdasarkan siasatan, lori yang membawa alatan barang tersebut telah melanggar belakang sebuah treller.
“Kejadian itu telah menyebabkan lelaki itu tersepit sebelum kaki kanannya terputus.
“Pihak bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.47 petang dan 13 anggota daripada Balai Bomba Pagoh dan Bukit Gambir sampai di tempat kejadian beberapa minit kemudian.
Tambahnya lagi, mangsa kemudian di hantar ke Hospital Muar untuk rawatan selanjutnya manakala pemandu treller tidak mengalami kecederaan.
Johorkini