BM | EN | 中文

Lelaki Myanmar ditemui mati di Kulai dipercayai dibunuh, polis tahan 13 warga asing

PDRM-polis-tangkapan-jenayah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 MEI: Polis menahan 13 lelaki warga asing kira-kira tiga jam selepas mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dengan kesan tikaman di badannya di Jalan Senai Jaya 2, Taman Senai Jaya, Senai, dekat Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, lelaki Myanmar berusia lingkungan 30an itu ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan oleh seorang lelaki warga Nepal di atas jalan raya tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, kira-kira pukul 5.40 pagi.

“Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati mendapati terdapat kesan kecederaan akibat ditikam di bahagian belakang leher, bahu kanan dan kiri, dada kanan serta perut. Sebilah pisau pemotong sayur ditemukan di sisi mayat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata, kira-kira tiga jam kemudian polis menahan tiga warga Myanmar dan 10 warga India berumur antara 22 dan 50 tahun, serta merampas beberapa baju mereka bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku akibat pergaduhan melibatkan si mati dan beberapa individu yang mabuk ketika itu.

Tok berkata, kesemua mereka direman sehingga 14 Mei, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top