JOHOR BAHRU, 2 JUN: Seorang lelaki Indonesia yang dipercayai menyeludup kira-kira 250 pendatang tanpa izin (PTI) setiap bulan ke Johor dengan mengenakan bayaran RM750 seorang antara 13 tekong diberkas dalam empat serbuan di sekitar daerah Kota Tinggi dan Pontian.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siri operasi dari 19 hingga 31 Mei itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah dan Tujuh Briged Angkatan Tentera Malaysia negeri.
Beliau berkata lelaki berusia 47 tahun dan berasal dari Lombok itu ditahan pada 26 Mei lepas di Gugusan Adela berhampiran Kota Tinggi bersama dua tekong lain iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki rakyat Indonesia.
Turut ditahan lima PTI lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun ketika mereka cuba keluar secara haram dari negara ini, katanya semalam.
Beliau berkata pada 25 Mei, pihaknya menahan 17 PTI lelaki berusia 22 hingga 41 tahun di kawasan Ladang Sungai Tengah dan Ladang Tembikai Tanjung Balau berhampiran Kota Tinggi.
Manakala pada 27 Mei, lapan tekong lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 47 tahun telah ditahan.
“Dalam operasi ini, kita juga menahan migran iaitu enam lelaki dan satu perempuan berusia antara lima hingga 31 tahun,” katanya.
Serbuan keempat pada Ahad menyaksikan penahanan dua tekong warga tempatan berusia 56 hingga 64 tahun di Kampung Sungai Buntu Penerok dekat Pontian menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dalam semua operasi ialah 13 tekong dan 31 PTI.
Ayob Khan berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Saga, 30 unit telefon bimbit, wang tunai RM990 dan 755,000 rupiah Indonesia.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) 2007, Seksyen 26H ATIPSOM 2007, Seksyen 26J ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac sehingga kini, sejumlah 82 tekong telah ditahan dan 36 daripada mereka didakwa dengan kesalahan melakukan penyeludupan migran.
Pada masa sama, sejumlah 149 migran turut ditahan dan 83 telah didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Bernama