BM | EN | 中文

Lelaki di Johor Bahru amang seksual kanak-kanak 7 tahun, samun OKU ditahan

polis-PDRM.jpg

JOHOR BAHRU, 16 DIS: Seorang lelaki ditahan polis kerana melarikan dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun serta menyamun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 4.45 petang di Kangkar Baru, Yong Peng.

Katanya, suspek bertindak melarikan kanak-kanak terbabit di hadapan rumah di Taman Teratai, Kangkar Pulai, di sini kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

“Kemudian pada pukul 5.30 petang, suspek membawa mangsa menaiki kenderaan ke Stulang Laut dan telah menyamun wang tunai berjumlah RM500 milik seorang OKU yang berusia 20 tahun.

“Suspek kemudian mengarahkan OKU berkenaan merakam perbuatan amang seksual terhadap mangsa kanak-kanak terbabit dalam kenderaan dipandu suspek,” katanya, lapor Utusan Online.

Tambah beliau, mangsa OKU kemudian ditinggalkan di tepi jalan sekitar Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak itu yang ketakutan ditemui orang awam di hadapan sebuah kedai makan di Kangkar Pulai.

“Operasi yang dijalankan telah berjaya menahan suspek dan turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Waja berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit. Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Disember,” katanya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top