BM | EN | 中文

Lelaki cederakan isteri di Johor Bahru sehingga parah direman enam hari

PDRM-polis-tangkapan-jenayah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 12 JUN: Seorang lelaki yang disyaki mencederakan isteri sehingga parah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, direman selama enam hari bermula hari ini hingga 17 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, individu yang berumur 38 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu, direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 326A kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Advertisement

“Lelaki terbabit ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

“Tangkapan dibuat ekoran kes yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polls Daerah Johor Bahru Selatan, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan pada 5 Mei lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 17 Mei lepas, media melaporkan seorang penjawat awam berumur 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor, dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dicederakan suaminya, 4 Mei lepas.

Advertisement

Menurut laporan itu, mangsa yang sedang hamil empat minggu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk, retak disyaki dipukul suaminya.

Susulan itu, pada 18 Mei lalu, polls dilaporkan telah mengedarkan gambar dan butiran diri lelaki itu, bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan individu terbabit, selepas keluarga mangsa membuat laporan polls berhubung insiden berkenaan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top