BM | EN | 中文

Lee Zii Jia keluar BAM: Krisis sukan negara makin tenat, “kerajaan gagal” merebak ke KBS

Steven-Sim-kbs-bukit-mertajam.jpg

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Krisis sukan negara semakin tenat dan bukti kerajaan gagal merebak ke KBS apabila pemain badminton utama negara, Lee Zii Jia mengumumkan peletakan jawatan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) .

Ahli parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bahawa perletakan jawatan Zii Jia merupakan satu kehilangan besar buat BAM.

Beliau turut terkejut apabila mendengar berita mengenai pemain badminton utama negara, Lee Zii Jia yang juga merupakan pemain perseorangan di ranking ke-7 dunia keluar dari BAM.

“Jelas pada kejohanan All-England yang lalu ketika Zii Jia menewaskan Viktor Axelsen, beliau telah memberikan nafas baru kepada arena badminton negara selepas persaraan Dato Lee Chong Wei.

“Dasar terbuka hasil usaha sama MSN-BAM ketika saya berada di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membenarkan pemain profesional mewakili negara sebenarnya merupakan satu perkembangan yang baik buat arena sukan negara.

“Namun apabila pemain utama negara memilih untuk keluar dari BAM, walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM telah melaburkan wang ringgit dan usaha yang amat besar ke atas beliau, maka KBS harus bermuhasabah.

“Saya khuatir jika terdapat masalah dalaman yang tidak ditangani, BAM akan kehilangan lebih ramai pemain mereka,” kata Steven dalam kenyataan.

Kata Steven lagi, tindakan Zii Jia keluar BAM ketika kemelut pemecatan 253 orang atlet negara dan pengurangan lebih 50 peratus elaun bagi atlet yang masih berada di bawah kontrak latihan.

Malah katanya, beberapa orang atlet utama negara turut ditamatkan kontrak latihan ataupun memilih untuk bersara terus.

“Ini merupakan krisis terburuk arena sukan negara dan akan melumpuhkan prestasi sukan Malaysia jika Menteri KBS masih gagal mengambil tindakan sewajarnya.

Sehingga kini, Menteri KBS memilih untuk membisu terhadap isu kebajikan atlet dan pembangunan sukan tanah air.

“Sebaliknya, Menteri yang sama begitu pantas tampil mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terpalit dalam kontroversi pembelian saham,” kata Steven lagi.

Justeru Steven menggesa MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) harus ke depan memenuhi ketiadaan kepimpinan Menteri di KBS.

“Dalam keadaan ini, MSN dan PSK termasuk dalam isu Lee Zii Jia, BAM, perlu bertindak drastik menamatkan krisis sukan negara.

“Para pegawai dan pemimpin dalam MSN serta PSK harus memainkan peranan memenuhi ketiadaan kepimpinan Menteri dalam KBS.

“Satu sesi khas melibatkan perbincangan terbuka semua pemegang taruh perlu diadakan segera bagi merangka strategi menghentikan kemelut yang dihadapi sekarang dan merancang pembangunan seterusnya sukan negara.

“Walaupun kini Zii Jia dan beberapa orang pemain negara kini beralih ke pentas profesional, MSN dan BAM perlu melihat pemain profesional bukan sahaja sebagai saingan yang sihat kepada pemain BAM, malah sebagai bakat negara yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Justeru, saya berharap pemain profesional seperti Zii Jia, Goh Jin Wei dan lain-lain akan diberi sokongan yang munasabah oleh MSN dan BAM serta diberi peluang untuk mewakili negara,” ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top