JOHOR BAHRU, 3 DIS : Kerajaan negeri akan membina lebih banyak Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, taska di lokasi pentadbiran kerajaan akan membantu kakitangan memberi perkhidmatan terbaik.
Katanya, langkah ini sekaligus dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan dan penjagaan kanak-kanak.
“Kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan RM800,000 untuk membina taska baharu di Kota Tinggi dan membaik pulih taska YPKDT sedia ada di Wisma Persekutuan, Johor Bahru.
“Selain itu, antara lokasi lain termasuklah Taska YPKDT di Kota Iskandar, Batu Pahat dan Pontian,” katanya ketika berucap pada Hari Graduasi Taska YPKDT Wisma Persekutuan 2019 di Dewan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini hari ini.
Tambah Cai Tung, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan kerana pembentukan masyarakat sejahtera bermula dari rumah.
“Saya percaya taska baharu terutamanya di pusat pentadbiran kerajaan akan membantu kakitangan mendapatkan perkhidmatan jagaan anak berhampiran dengan tempat kerja.
“Diharapkan usaha yang dilaksanakan ini dapat meringankan beban ibu bapa yang sibuk bekerja mencari rezeki untuk keluarga masing-masing,” katanya lagi.
JohorKini