SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 5,143 jawatan menanti pencari kerja sempena penutup siri Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Seksyen 6 di sini pada 5 dan 6 Disember.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata kekosongan jawatan meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan, profesional dan pendidikan yang ditawar berdasarkan kelayakan.
“Kerajaan negeri Selangor berharap pemohon membuat persediaan rapi untuk menghadiri sesi temu duga seperti datang awal, berpakaian kemas dan membawa dokumen secukupnya.
“Pemohon disaran mencuba peluang lain yang ditawarkan dalam program berlangsung selama dua hari ini,” katanya, lapor SelangorKini.
Beliau berkata sebanyak 34 majikan mengendalikan proses temu duga secara fizikal dan maya dengan hanya 9,696 pemohon yang berdaftar di portal JobsMalaysia dijemput menghadiri siri jelajah itu.
“Kerajaan Selangor juga merancang untuk mengadakan karnival kerjaya secara besar-besaran sebaik sahaja situasi Covid-19 pulih,” katanya.
Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).
Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.
Johorkini