BM | EN | 中文

Lebih 30,000 saksi perasmian Stadium Sultan Ibrahim

Stadium-Sultan-Ibrahim.jpg

Stadium Sultan Ibrahim

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 23 FEB: Lebih 30,000 peminat dan penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menggamatkan suasana di majlis perasmian stadium baru pasukan itu, Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Upacara perasmian yang penuh gilang gemilang itu disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira pada jam 9.05 malam yang sekaligus menyaksikan bermulanya era baru kepada pasukan yang dikenali dengan jolokan ‘Harimau Selatan’ itu.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan rasminya,” titah Sultan Ibrahim pada detik bersejarah itu.

Advertisement

Turut berangkat sama ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Iskandar; Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan isterinya, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Acara perasmian stadium yang berkapasiti 40,000 tempat duduk itu turut diserikan dengan persembahan bunga api yang memukau, kombinasi kerlipan lampu pada bumbung selain imej janaan komputer (CGI) dan hologram yang menampilkan dua ekor harimau bertarung di dalam stadium.

Selain itu, antara yang menarik dalam upacara perasmian malam tadi ialah susunan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) yang dipadankan di tempat duduk penonton membentuk perkataan-perkataan ‘Selamat Datang’ dan ‘Daulat Tuanku’.

Advertisement

Tidak dilupakan, alunan pukulan gendang oleh Boys Of Straits (BOS) iaitu penyokong tegar pasukan JDT yang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-10 pada tahun ini.

BOS turut memimpin hadirin di stadium mengalunkan sorakan semangat melalui lagu-lagu mereka seperti ‘Ayuh Johor’ dan ‘Hidup Mati Johor’.

Turut menyampaikan persembahan ialah penyanyi undangan dari United Kingdom yang popular dengan lagu ‘Bleeding Love’, Leona Lewis, selain penyanyi dari kumpulan Ilusi, Ayai dan Akim.

Advertisement

Stadium Sultan Ismail merupakan satu-satunya stadium di Malaysia menggunakan rumput asli (Zeon Zoysia) dengan penyelenggaraan rapi oleh pakar dari Jepun.

Pembinaan stadium yang bermula pada 2016 ini memakan masa selama empat tahun, dan kini bersedia untuk menanti kunjungan Kedah bagi perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Februari.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top