SHAH ALAM, 20 FEB: Seramai 3,160 penternak, petani dan nelayan mendapat manfaat Pakej Kita Selangor melalui lima program Bantuan Warga Tani.
Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej tersebut, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) memaklumkan semua manfaat dirancang melalui peruntukan RM2 juta iaitu baja kompos (tinja ayam) kepada 910 penerima dan makanan ternakan ruminan dan bukan ruminan kepada 250 penerima.
Selain itu 150 pengusaha akan menerima manfaat makanan ternakan akuakultur, baucar petrol kepada 1,350 nelayan dan bahan mentah untuk pengeluaran hasil siap kepada 500 pengusaha industri asas tani
Pengagihan baja kompos membabitkan kos RM455,000 dijadual pada minggu ke-tiga Februari.
Bagi makanan ternakan termasuk akuakultur, Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Vetrerinar negeri telah menyerahkan senarai penerima.
Terdahulu SelangorKini melaporkan proses sebut harga sedang dibuat bagi mendapatkan bekalan membabitkan kos RM400,000.
Baucar petrol pula akan diagih Jabatan Perikanan Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum akhir Februari melalui peruntukan RM405,000.
Pengagihan bahan mentah bernilai RM250,000 pula akan dibuat Fama Selangor sekitar minggu depan secara berperingkat.
Johorkini