ISKANDAR PUTERI, 3 DIS: Sebanyak 2,513 kilang haram dan beroperasi tanpa lesen dikenal pasti di semua 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ayub Jamil berkata, daripada jumlah itu angka tertinggi dilaporkan di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), iaitu sebanyak 1,694 kilang dikenal pasti.
Ia diikuti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan 190 kilang dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dengan 182 kilang.
“Semua PBT Johor sudah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pemantauan dan menjalankan tindakan penguatkuasaan bersepadu secara berkala bagi membanteras kilang haram yang beroperasi, dan seterusnya tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan, termasuk merampas atau merobohkan kilang terbabit,” katanya di Dewan Undangan Negeri Johor.
Laman FMT melaporkan Ayub berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan), bahawa MBIP sudah melaksanakan program melengkapkan inventori industri bagi keseluruhan kawasan industri dalam kawasannya.
Dalam perkembangan lain, Ayub berkata sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti kitar semula di Jalan Kulai-Kota di Kulai dikenal pasti menjadi dalang yang mencemarkan Sungai Johor dengan bahan kimia berbahaya, antara Julai hingga Ogos lalu.
“MPKu sudah mengambil tindakan penguatkuasaan tegas sebanyak tiga kali sejak Ogos lalu terhadap pemilik kilang berkenaan,” katanya.
Badan Kawalan Selia Air Johor membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat bau yang tidak normal dalam air terawat di loji pada 19 Julai.
Hasil siasatan bahagian perlesenan MPKu mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai lesen dan menjalankan aktiviti perniagaan pusat kitar semula secara haram.
Bahagian pembangunan MPKu juga sudah mengeluarkan notis kompaun mengikut Seksyen 70(1) dan Seksyen 72(1)(b) Akta Jalan Parit dan Bangunan supaya pemilik premis meruntuhkan bangunan berkenaan dalam tempoh 14 hari.
Johorkini