BM | EN | 中文

Lebih 12 jam padam kebakaran – bomba

DSC_7336-scaled.jpg

KOTA TINGGI, 16 MAC: Bomba mengambil masa lebih dari 12 jam untuk mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran yang berlaku di Unit Diesel Hydro Treating (DHT), Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di sini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Pauzan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.18 malam semalam.

Katanya, kebakaran itu kemudian berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, hari ini.

“Ketika pasukan bomba tiba, api marak dan tekanan di dalam paip masih terlalu kuat sehingga menyukarkan tugas.

“Mangsa pertama ditemui pada jam 3.56 pagi, mangsa kedua dan ketiga pada jam 4 pagi, mangsa keempat pada jam 9.12 pagi manakala mangsa terakhir ditemui pada jam 12.42 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di PIC, di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku lewat malam semalam itu, seramai lima pekerja maut manakala seorang cedera melecur dan seorang yang lain ditemui selamat.

Tambah Pauzan, antara kesukaran dihadapi pihaknya dalam operasi berkenaan adalah lokasi kebocoran paip yang berlaku berada di ketinggian 15 kaki.

“Operasi ini melibatkan seramai 107 pegawai dan anggota dari enam buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Sebana Cove, BBP Bandar Penawar, BBP Pasir Gudang dan BBP Larkin.

“Dalam kejadian itu, tiada anggota bomba yang dilaporkan cedera,” tambahnya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top