JOHOR BAHRU, 23 MAC: Dianggarkan seramai 75 warga tabligh di negeri ini yang menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah tersebut melibatkan rakyat tempatan dan warga asing.
Katanya, jemaah warga asing dipercayai melibatkan masyarakat Rohingya, Bangladesh dan Thailand.
“Amaran sudah diberi, perlu ada rasa tanggungjawab. Kalau betul-betul berpegang pada agama Islam, dia kena bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, polis menyeru mereka yang terlibat supaya membuat pemeriksaan saringan kesihatan di klinik dan hospital berdekatan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melawat salah satu sekatan jalan raya yang dibuat pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di Jalan Tampoi Lama, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima 7 Briged, Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam.
Tambah Ayob Khan, kerjasama jemaah tabligh amat diperlukan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 (koronavirus) ketika ini.
“Pihak berkuasa akan terus berusaha menjejak mereka namun polis juga mempunyai banyak penugasan lain yang perlu diberi perhatian,” tambahnya.
Johorkini