JOHOR BAHRU, 18 DIS : Lawatan Sultan Johor dan Permaisuri Johor serta Keluarga Diraja Johor ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di pelbagai daerah menjadi dorongan buat pasukan petugas.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim turut berkenan melawat PPS Sekolah Agama Kampung Paya, Layang-Layang, Kluang, semalam.
Seramai 117 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan sejak tiga hari lalu.
Bagi seorang anggota RELA, Suratman Ismail, lawatan Keluarga Diraja Johor bukan sahaja menceriakan mangsa-mangsa banjir, malah buat petugas-petugas lebih bersemangat.
“Disamping beramah-mesra bersama mangsa banjir, Tunku Idris turut berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan bersalaman dengan petugas-petugas lain di sini.
“Tunku Idris amat mesra dan lebih terharu apabila beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota yang bertugas,” katanya.
Tunku Idris Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia turut berkenan menghulurkan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa di PPS itu.
Johorkini