BM | EN | 中文

Larian Desa Lestari di Gunung Pulai gamit peserta 11 negara

IMG-20200111-WA0011.jpg
Advertisement

KULAI, 11 JAN: Seramai 430 peserta dari 11 negara menyertai acara larian Desa Lestari Trail Run 3.0 (DLTR) 2020 yang diadakan di Kampung Sri Gunung Pulai, disini, hari ini.

Selain Malaysia, turut menyertai acara hari ini adalah peserta Amerika Syarikat, Great Britain, Kanada, Thailand, Switzerland, Singapura, China, Filipina, Perancis dan Taiwan.

Perlumbaan yang berlangsung sepanjang hari itu melibatkan empat kategori jarak iaitu 5 kilometer (km), 15km, 30km dan 50km bagi mencabar kemampuan para peserta merentasi laluan berbukit, sungai dan denai.

Advertisement

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulaijajaya Berhad (Sekawan Koop), Jamalludin Abdol Hamid berkata, DLTR 3.0 yang dianjurkan kali ini adalah tahun ketiga dan beliau yakin program ini mendapat perhatian dan akan diteruskan dari tahun ke tahun.

“Program ini mendapat sambutan yang baik. Apatah lagi apabila tahun ini adalah Tahun Melawat Johor 2020 dan Tahun Melawat Malaysia.

“Pastinya kita memberikan perhatian untuk menyokong (usaha) kerajaan negeri dan pusat untuk menarik seberapa ramai mungkin pelancong untuk datang ke daerah Kulai secara umum dan Kampung Sri Gunung Pulai secara khusus,” katanya kepada Johorkini.

Advertisement

Dalam pada itu kata Jamalludin, pihaknya melalui Sekawan Koop mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama untuk menganjurkan sebarang program berbentuk eco-tourism di Gunung Pulai.

“Pada bulan Mac ini akan diadakan program ‘Fun Run’ dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Manakala pada bulan April ialah program ‘Clean up the World’ (Hari Kebersihan Sedunia).

“Kita juga mengalu-alukan pihak swasta, penaja selain penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama,” katanya lagi.

Advertisement

Sementara itu, Pengarah SKM, Mahmud Kadar berkata, program seperti ini dapat mempromosikan Kulai dan Kampung Sri Gunung Pulai sebagai lokasi pelancongan alam semula jadi.

Dalam masa yang sama kata Mahmud, DLTR juga dapat membangunkan ekonomi penduduk kampung, terutamanya kepada mereka yang bergiat dalam koperasi.

“Hari ini ada peserta dari 11 buah negara. Kalau dibuat program setiap tahun dan seterusnya, kampung ini akan terkenal. Mereka bukan sahaja berlari tetapi juga melihat keadaan kampung.

Advertisement

“Kalau kita dapat sediakan perkhidmatan yang baik, mungkin dia berminat dan mempromosikan tempat ini di kampung halamannya sebelum kembali semula bersama keluarga dan rakan,” ujarnya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top