MERSING, 3 MEI: Mufti di negara ini ditegur agar tidak terburu-buru mengeluarkan fatwa, antaranya berkaitan pengharaman rakyat di negara ini untuk merentas negeri berlandaskan petikan hadith sehingga mendapat kecaman ramai.
Menurut pandangan Pengarah Hal Ehwal Syariah, Asatizah Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Azam Razak para mufti perlu memandang dari kepelbagaian sudut sebelum mengeluarkan fatwa.
Katanya ketika dihubungi emosi rakyat perlu menjadi penelitian utama sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa.
“Sekiranya emosi rakyat hari ini yang semakin tertekan dengan suasana yang seperti tiada penghujungnya ini, kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa.
“Apa yang dirisaukan adalah berkenaan penerimaan semua pihak sehingga akan wujud golongan yang menolak sesuatu dalil walaupun perkara itu sahih.
“Bukan jabatan mufti yang dipandang buruk nanti, tetapi institusi agama Islam dalam negara ini akan dipandang remeh dan buruk.
“Bukan bermaksud beliau sebagai mufti tak boleh nak tegur tetapi ini soal dalil. Kena berjaga-jaga sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan,” kata Mohd Azam.
Beliau memaklumkan sebaiknya mufti berkenaan menegur terlebih dahulu golongan yang dipanggil ‘kayangan’ itu dari terus melakukan sesuatu perkara yang jelas menyakitkan hati ramai pihak.
“Lebih baik mufti itu menegur mereka yang jelas melanggar SOP tetapi kebal kerana mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan dan pelbagai institusi lain.
“Islam bukan agama yang memilih bulu atau ‘double standard’ dalam melaksanakan hukum. Ini keperluan yang lebih utama untuk dipandang oleh mufti berkenaan,” katanya lagi.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah sebelum ini berkata, hukum melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang ditetapkan kerajaan adalah haram.
Beliau berkata, hal ini kerana asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.
Katanya, Rasulullah SAW bersabda, supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, media sosial seperti Facebook dibanjiri komen dari warganet yang tidak berpuas hati dengan kenyataan mufti berkenaan.
Antara yang menarik perhatian, terdapat warganet yang menganggap kenyataan dari mufti itu berbentuk ‘double standard’ kerana hanya ia terpakai kepada rakyat biasa bukan golongan atasan yang digelar ‘kayangan’.
Johorkini