BM | EN | 中文

Laporan: Sungai Kim Kim kembali tercemar?

sungai-kim-kim-pasir-gudang-1.jpg

Gambar Fail

Advertisement

PASIR GUDANG, 8 MAC: Selepas genap dua tahun semalam mengalami pencemaran teruk akibat pelepasan sisa toksik sehingga menjadi tajuk utama media dan menarik perhatian seluruh negara, Sungai Kim Kim kembali ‘dinoda’, kali ini dengan tompokan minyak berbau busuk.

Laporan Berita Harian mendedahkan, Sungai Kim Kim yang kembali jernih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac tahun lalu, kini mulai keruh dengan tompokan minyak mengalir ke bahagian hulu sungai berkenaan.

Ketua Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, berkata pencemaran terbaru di Sungai Kim Kim disedari penduduk sebulan lalu, kira-kira empat bulan selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kerja menyelenggara sistem saliran berkenaan.

Advertisement

“Sejak sebulan lalu, Sungai Kim Kim kembali keruh dengan kesan tompokan minyak mengalir di kawasan hulu sungai di kampung ini. Kami bimbang kerana 7 Mac ini genap dua tahun insiden pencemaran sisa toksik sungai ini yang menyebabkan ramai penduduk terjejas.

“Pencemaran terbaru mengundang kembali kenangan pahit dua tahun lalu. Kami masih ingat ramai pelajar tiga sekolah di sini pitam dan sesak nafas dalam insiden pada 2019 dan kami bimbang kerana sekarang musim panas, insiden sama berisiko berulang apatah lagi sekolah sudah dibuka,” katanya.

Kira-kira dua tahun lalu dalam insiden yang dikesan pada 7 Mac 2019, penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah di kawasan itu diserang sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Advertisement

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang dikesan pada 7 Mac 2019 lalu menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara.

Pada hari berkenaan, bau bahan kimia sangat kuat dikesan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Pasir Putih di Pasir Gudang. Pelajar dua sekolah itu bersama guru dan pekerja kantin juga mengalami simptom pening, loya, muntah dan ada yang pengsan.

Selepas siasatan dibuat, sejauh 1.5 kilometer (km) Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa toksik dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar bersama sisa kimia berbahaya dilupuskan.

Advertisement

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Adli Suri Rabu, mendakwa bau busuk dari tompokan minyak yang dikesan di hulu Sungai Kim Kim hampir sama dengan sisa toksik beracun dua tahun lalu, namun tidak sekuat kejadian terdahulu yang menyebabkan penduduk sesak nafas, loya dan pening.

“Selepas pelaksanaan PKP tahun lalu, air Sungai Kim Kim semakin jernih dan hidupan sungai ada kembali. Namun, sejak sebulan lalu sungai kembali tercemar dan nelayan mengadu hidupan sungai juga ‘hilang’.

“Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan awal, buat pemeriksaan mengejut dan intipan bagi memastikan tiada pihak membuang sisa toksik ke dalam sungai ini semula. Kami juga ada meninjau tetapi tidak menemui jejak dan kesan kerana kegiatan buang sisa toksik dipercayai pada tengah malam atau awal pagi,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top