BM | EN | 中文

LAPORAN PROGRAM ‘ABANG BOMBA KE SEKOLAH’ DI PASIR GUDANG AKAN DIBENTANG KEPADA TPM

Abang-Bomba-Ke-Sekolah-Pasir-Gudang.jpg

JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Penganjuran program interaktif ‘Abang Bomba Ke Sekolah’ bagi menyuntik motivasi pelajar dilihat agak terjejas susulan insiden pencemaran di Pasir Gudang, dan laporan mengenainya akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohamed Zahari Razali berkata laporan akan dibentangkan bagi mengetahui sama ada program yang dilaksanakan di 22 sekolah di Pasir Gudang itu boleh diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di kawasan berkenaan.

“Kita (NADMA) mendapati program berbentuk ‘Public Relation Exercise’ ini mendapat maklum balas positif dalam kalangan pelajar, guru dan badan bukan kerajaan (NGO) di mana ia meningkatkan fizikal dan mental pelajar untuk ke sekolah.

“Pembentangan laporan ini penting sebagai panduan dan hala tuju bagi menaikkan semula semangat pelajar yang trauma dengan insiden pencemaran itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup program ‘Abang Bomba Ke Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Masai 2, di sini hari ini.

Mohamed Zahari berkata NADMA akan membentangkan laporan program itu kepada Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada lawatan terhadap penduduk terjejas Taufan Lekima di Alor Star, Sabtu ini dan program itu sebenarnya merupakan cetusan idea Wan Azizah sendiri.

“Program membabitkan NADMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru ini dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu mulai 6 hingga 8 Ogos dan 19 hingga 21 Ogos, di 22 daripada 111 sekolah di Pasir Gudang.

“Sebab itu kita akan bentang kepada TPM, sekiranya program ini akan ditambah (diperluas) ke baki sekolah lain, maka kita akan bincang dengan pihak bomba,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata JPBM pusat sudah mengarahkan JBPM Johor untuk menambahbaik modul ‘Abang Bomba Ke Sekolah’ bagi diperluaskan ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata ketika ini pelajar didedahkan dengan beberapa perkara seperti ceramah, melihat demonstrasi penggunaan pemotong hidraulik serta cara menggunakan alat pemadam api, dan antara yang sedang dirancang untuk ditambah dalam program itu adalah seperti asas-asas Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan menangani tumpahan bahan kimia di makmal.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top