BM | EN | 中文

Laporan forensik punca kebakaran HSA diketahui dalam masa terdekat

kebakaran-hospital-sultanah-aminah-jun-2020.png

JOHOR BAHRU, 29 JUN: Laporan siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran Wad Perubatan Perempuan Satu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, petang semalam akan dapat diketahui dalam masa satu atau dua hari lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor Datuk Yahaya Madis berkata unit forensik kini giat melakukan kerja-kerja penyiasatan.

“Apabila selesai siasatan, kita akan serah balik laporan kepada pihak hospital dan setelah itu, baru laporan forensik dikeluarkan.

“Kebiasaannya, (laporan forensik) dalam masa satu atau dua hari,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu beliau membuat lawatan ke wad yang terbakar petang semalam yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

Dalam pada itu, Yahaya berkata seramai 60 anggota bomba daripada Ibu Pejabat JBPM negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Johor Jaya dan Larkin digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 3.08 petang.

Operasi pemadaman turut melibatkan tiga jentera Fire Rescue Tender, satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), tiga Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan satu jentera Aerial Ladder Platform (ALP).

“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian dalam masa lima minit dan dapat memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 3.29 petang,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya, Yahaya berkata kebakaran yang berlaku membabitkan panel oksigen, vacuum, call bell dan suis di katil nombor lima wad berkenaan.

“Seramai 24 pesakit di dalam wad berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh kakitangan HSA yang bertugas,” katanya.

Katanya, kakitangan hospital cuba memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering, namun tidak berjaya dan api mula merebak ke siling.

Bagaimanapun, api berjaya dipadam sebaik bomba tiba dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.21 petang.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top