JOHOR BAHRU, 21 MAC: 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu akan dibahagi secara muafakat bersama tiga parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Bernama melaporkan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan sebagai berkata sebuah jawatankuasa pengagihan kerusi DUN antara Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga sudah ditubuhkan di peringkat negeri bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
“Pengagihan 56 kerusi DUN di Johor masih dalam perbincangan di peringkat PH negeri.
“Kerusi DUN ditandingi Bersatu pada PRU 14 dianggap sebagai kerusi yang dikosongkan.
“Oleh itu, 18 kerusi tersebut boleh ditandingi mana-mana parti komponen PH Johor, cuma keputusannya parti yang akan bertanding akan ditentukan secara perbincangan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Amanah Johor di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha DAP Johor Tan Hong Ping serta Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse.
Pada masa ini Bersatu memiliki 12 kerusi DUN di Johor.
Sementara itu, Salahuddin berharap PH Johor mampu menyelesaikan hal pembahagian kerusi secepat mungkin sebagaimana dilakukan pada PRU14.
“Johor sepatutnya menjadi contoh, PH kuat di negeri ini. PH Johor telah buktikan pada PRU14 lalu, di mana negeri ini merupakan negeri terawal berjaya memutuskan pembahagian kerusi secara muafakat, katanya.
Bernama