BM | EN | 中文

Lans Koperal dari IPD Seri Alam ditahan bantu siasatan kes rasuah RM100

rasuah.jpg

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Seorang Lans Koperal polis ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai meminta rasuah wang tunai RM100 daripada seorang pemandu lori, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki berumur 32 tahun yang merupakan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu ditahan selepas polis menerima laporan yang dibuat pemandu lori berkenaan.

“Anggota tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu ketika bertugas dalam sekatan jalan raya di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, berhampiran Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, semalam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Beliau berkata anggota berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Ini yang saya katakan dari awal, saya tekankan kalau ada kes rasuah dalam kalangan anggota, yang pasti, kita akan tangkap dan tuduh. Tiada lagi siasatan dalaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata pihaknya masih lagi mengesan dua anggota polis yang gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Khamis lepas, bagi pertuduhan membantu ahli sindiket jenayah terancang Geng Otong.

Beliau berkata waran tangkap terhadap kedua-duanya sudah dikeluarkan namun, sehingga kini mereka belum tampil menyerah diri.

“Kita akan siarkan butir-butir (keterangan) dan gambar mereka (senarai dikehendaki). Itu pilihan yang ada, mereka pun tidak boleh lari ke mana kerana kita ada butir-butir mereka,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top