BM | EN | 中文

Langgar SOP: Pemilik bersama 34 pengunjung pusat hiburan di Kempas dikompaun

pdrm-polis.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 1 NOV: Seorang pemilik premis bersama 34 pelanggan dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM195,000 setelah didapati leka berhibur dengan hidangan minuman keras dan alunan muzik yang kuat di sebuah pusat hiburan di Taman Kempas Utama, Kempas, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, dalam serbuan dilakukan pada pukul 12.05 tengah malam itu, polis menahan kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 42 tahun.

Katanya, serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Johor turut menahan tiga individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.

Advertisement

“Semasa pasukan polis memasuki premis itu, kita dapati muzik dipasang dengan kuat dan terdapat 26 lelaki dan sembilan wanita yang kesemuanya warga tempatan berusia antara 17 hingga 42 tahun.

“Pemeriksaan pasukan serbuan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan lesen hiburan dan kesemua pelanggan yang sedang berhibur telah melanggar syarat Fasa 4 PPN yang masih berkuat kuasa.

“Penjaga premis yang ingkar SOP itu dikenakan kompaun RM25,000 manakala 34 pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan kompaun RM195,000,” katanya, lapor Utusan Online.

Advertisement

Kesemua suspek dikompaun mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Johor.

Pihak polis turut merampas semua perkakasan muzik elektronik yang digunakan untuk hiburan.

Rupiah berkata, tiga pelanggan yang dipercayai ada kaitan dengan geng kongsi gelap itu pula turut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang pelanggan wanita adalah orang dikehendaki polis bagi kesalahan jenayah di Iskandar Puteri dan telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top