JOHOR BAHRU, 11 OKT: Kerajaan Johor akan memperkenalkan laluan khas berasingan untuk bas persiaran dan bas yang membawa pekerja ke Singapura di Komples Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Soihan Badri berkata, laluan tersebut akan dibuka bagi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 16 Oktober ini.
Pemantauan mendapati antara punca berlakunya kesesakan di Tambak Johor berpunca dari sikap pemandu bas kilang yang tidak mematuhi peraturan, seperti menurun dan mengambil penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
Dalam pada itu ada di kalangan pemandu bas kilang yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengambil penumpang awam dan mengenakan caj kira-kira SGD2 (RM4).
Lantaran berlakunya kesesakan di Tambak Johor, ada di kalangan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura mengambil keputusan berisiko untuk berjalan kaki di sepanjang laluan tersebut.
“Oleh kerana kesesakan itu, sebahagian dari mereka memilih untuk berjalan kaki menentang arus.
“Sepatutnya mereka tidak boleh menggunakan laluan ke Tambak Johor. Ini sangat bahaya,” kata Solihan selepas melakukan tinjauan selama dua jam ke kompleks CIQ, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) baru-baru ini.
Cadangan pelaksanaan membabitkan bas pekerja dan bas sekolah yang akan melalui Jalan Lingkaran Dalam menuju CIQ-BSI, manakala bas awam yang lain menggunakan Jalan Penyuraian Timur (EDL)
Jabatan Imigresen merekodkan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang kebanyakannya bekerja di Singapura berulang-alik menggunakan laluan Tambak Johor
Johorkini